fb fb fb fb fb

Pelakon Alec Baldwin didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian krew filem di set penggambaran

(Alec Baldwin/AFP)

LOS ANGELES, 20 Januari- Pelakon dan penerbit, Alec Baldwin akan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian kerana menembak secara tidak sengaja krew filem di set penggambaran filem baharunya Rust pada 2021, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Aktor veteran Hollywood berumur 64 tahun itu, secara tidak sengaja melepaskan tembakan daripada pistol prop jenis 'Colt .45' pada set filem di New Mexico Santa Fe County.

Insiden tembakan itu membunuh ahli sinematografi filem, Halyna Hutchins, 42, dan mencederakan pengarah Joel Souza.

Menurut Peguam Daerah Kehakiman Pertama New Mexico Mary Carmack-Altwies, penyedia senjata di set pengambaran itu, Hannah Gutierrez-Reed, juga akan didakwa atas tuduhan serupa.

Jika sabit kesalahan, mereka berdua berdepan hukuman penjara sehingga 18 bulan dan denda A$5,000, tetapi pengubahsuaian terhadap spesifikasi asal senjata api boleh membawa hukuman itu kepada lima tahun.

"Selepas siasatan menyeluruh terhadap bukti dan undang-undang negeri New Mexico, saya memutuskan terdapat bukti yang mencukupi untuk memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Alec Baldwin dan ahli kru filem Rust yang lain. 

"Pada pandangan saya, tiada siapa yang melebihi undang-undang dan semua orang berhak mendapat keadilan,”kata Carmack-Altwies," katanya.

(Alec Baldwin/AFP)

Merujuk reaksi Baldwin, aktor itu berulang kali mempertahankan yang dia dimaklumkan pihak produksi dibekalkan pistol tanpa peluru untuk babak berkenaan.

Bekas bintang "30 Rock" itu juga sebelum ini menegaskan dia tidak menarik picu, walaupun pakar senjata api FBI berkata ini tidak mungkin.

Peguam Baldwin, Luke Nikas berikrar untuk menang kes berkenaan, yang disebutnya sebagai kesalahan keadilan yang mengerikan."

"Anak guam saya tidak mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat peluru hidup di dalam pistol bagi mana-mana set filem.

"Dia bergantung kepada pihak pengendali senjata bagi set penggambaran itu, yang memberi jaminan bahawa pistol itu langsung tidak mempunyai peluru.

"Kami akan melawan tuduhan ini, dan kami akan menang," katanya.-AFP

Media Baharu