(Pekerja melakukan piket berikutan tiada kenaikan gaji)
LONDON, 1 Oktober- Mogok melibatkan pekerja di Britain berlanjutan apabila puluhan ribu pekerja daripada tiga kesatuan mengadakan piket, hari ini.
Tujuan itu bagi membantah mengenai gaji dan jaminan pekerjaan yang mengakibatkan sebahagian besar rangkaian kereta api negara tersebut ditutup.
Siri mogok terbaharu itu meningkatkan lagi pergolakan sektor buruh di Britain yang disertai pekerja perkhidmatan pengangkutan dan pos.
Ini berikutan kos sara hidup yang kian meningkat dan bil tenaga yang melonjak melebihi kenaikan gaji.
Dianggarkan lebih 50,000 pekerja rel diwakili kesatuan RMT, ASLEF dan TSSA mogok selama 24 jam sehingga mengakibatkan 14 pengendali kereta api dan Network Rail turut terjejas.
Network Rail dalam reaksinya menganggap bantahan itu sesuatu yang tidak perlu dan merosakkan sekali gus memberi tawaran terbaru dengan kenaikan gaji 8% dalam tempoh dua tahun berserta faedah.
Sebelum ini lebih 115,000 pekerja pos mogok selama dua hari diikuti berpuluh-puluh protes berlaku di seluruh negara.
Mogok tersebut mendapat sokongan beberapa kesatuan pekerja dan penggubal undang-undang Parti Buruh pembangkang.
(Antara pekerja rel diwakili kesatuan RMT, ASLEF dan TSSA mogok selama 24 jam)