fb fb fb fb fb

Pekan-pekan kecil di Korea Selatan bergelut isu kekurangan doktor

Foto Hiasan/ REUTERS

INCHEON, 26 April- Hospital di bandar-bandar kecil di Korea Selatan sedang bergelut dengan isu kekurangan doktor, ketika mogok doktor pelatih di seluruh negara berterusan yang kini sudah memasuki bulan ketiga.

Ibu negara, Seoul mempunyai banyak hospital kelas atasan, namun bandar-bandar lebih kecil berdepan kekurangan doktor, dalam trend yang dianggap pakar hanya akan menjadi lebih teruk apabila penduduk berusianya meningkat pada salah satu kadar terpantas di dunia, manakala kadar kelahiran yang terendah di dunia.

"Bilik dialisis kami ditutup selama hampir dua tahun kerana ketiadaan doktor.. ini adalah fenomena negara," kata Pengarah Pusat Perubatan Incheon, Cho Seung-yeon.

Kekurangan itu menjadi penyebab kepada rancangan kerajaan menambah ribuan pelajar sekolah perubatan mulai tahun depan, namun ditentang hebat doktor pelatih dan beberapa kumpulan perubatan yang meragui usaha itu.

Korea Selatan mempunyai nisbah 2.6 doktor bagi setiap 1,000 orang, satu daripada kadar terendah dalam kalangan negara maju, menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Austria menduduki tangga teratas adalah dengan nisbah 5.5 untuk setiap 1,000 orang.

"Saya berharap bilangan doktor akan meningkat pada masa hadapan, berikutan masyarakat kita yang semakin tua, bermakna semakin ramai akan ke hospital," kata pesakit, Yoo Byung-seon, 66.

Seung-yeon berkata, ekoran kekurangan kakitangan, Jabatan Kardiologi di hospital berkenaan terpaksa menggunakan khidmat doktor dari hospital universiti berdekatan.

Persatuan Perubatan Korea dalam aduannya minggu ini menuduh Seung-yeon dan seorang lagi kakitangannya melanggar undang-undang dengan menggunakan kakitangan tidak berlesen untuk beberapa prosedur perubatan.

Bagaimanapun, Seung-yeon menafikan dakwaan itu.

Pelatih perubatan dan doktor yang memulakan mogok pada lewat Februari mengatakan mereka dibayar gaji rendah, namun beban kerja tinggi.

Seung-yeon mengakui dasar mesti diubah untuk memastikan doktor baharu akan berkhidmat di kawasan yang kurang mendapat akses perubatan dan bukannya bertumpu di Seoul.

Presiden Kesatuan Pekerja Kesihatan dan Perubatan Korea, Choi Hee-sun berkata, mogok berpanjangan hanya akan menyusahkan jururawat yang sering menjalankan beberapa tugas doktor, biarpun tanpa perlindungan sama.

"Hanya doktor yang mengatakan tiada kekurangan doktor," kata Hee-sun.

Tahap khidmat perubatan berbeza di luar ibu negara, di mana angka kerajaan menunjukkan terdapat nisbah 4.82 doktor aktif bagi setiap 1,000 orang pada 2022, berbanding di Incheon iaitu 2.65 bagi setiap 1,000 orang.

Seorang warga emas, Yoon Geum-ja, 82, yang menghabiskan masa sebulan di hospital Incheon, menyatakan berpuas hati dengan sistem penjagaan kesihatan sekarang, namun akui bimbang jumlah doktor berkurangan pada masa hadapan." - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI