fb fb fb fb fb

Mahkamah tertinggi India enggan arah sebarang perubahan proses pengiraan undi

Foto Hiasan/ REUTERS

NEW DELHI, 26 April- Mahkamah Agung India hari ini menolak untuk memerintahkan sebarang perubahan kepada proses pengiraan undi, menolak petisyen untuk memohon kembali kepada sistem undi lama atau mengira semua kertas undi yang direkodkan oleh mesin elektronik.

Perintah itu dibuat beberapa hari selepas India mula mengundi dalam pilihan raya pada 19 April lalu, dengan undian akan dikira pada 4 Jun depan.

Perdana Menteri, Narendra Modi dijangka memenangi penggal ketiganya berturut-turut, situasi yang jarang berlaku ketika bergelut dengan saingan hebat pembangkang.

"Membicarakan secara membuta tuli mana-mana aspek sistem boleh membawa kepada keraguan yang tidak wajar dan menghalang kemajuan.

"Sebaliknya, pendekatan yang kritikal lagi membina berpandukan bukti dan alasan harus diikuti untuk memberi ruang kepada penambahbaikan yang bermakna dan untuk memastikan kredibiliti dan keberkesanan sistem," kata Hakim Dipankar Datta, selepas dua hakim hakim menyampaikan keputusan sebulat suara.

India telah menggunakan mesin pengundian elektronik (EVM) sejak 2000 untuk merekodkan undian.

Unit undi disambungkan kepada unit jejak kertas undi yang boleh disahkan pemilih (VVPAT) yang menghasilkan slip kertas dan boleh dilihat oleh pengundi melalui skrin lutsinar selama kira-kira tujuh saat sebelum ia disimpan dalam kotak undi.

Di bawah sistem sekarang, badan pengundian mengira dan memadankan slip kertas VVPAT tadi di lima pusat mengundi yang dipilih secara rawak di setiap kawasan dewan undangan negeri, di mana beberapa daripadanya digabungkan untuk membentuk satu kerusi Parlimen.

Pengkritik dan pemerhati, termasuk beberapa parti politik, mahu pengesahan dilakukan di lebih banyak pusat mengundi untuk meningkatkan ketelusan.

Sebuah kumpulan masyarakat sivil bukan kerajaan, Persatuan Pembaharuan Demokratik (ADR) membuat petisyen kepada mahkamah atasan untuk mendapatkan pengesahan semua undi EVM dengan slip VVPAT. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI