fb fb fb fb fb

Bayi diselamatkan dari rahim ibu yang syahid di Gaza meninggal dunia

Bayi bernama Rouh, meninggal dunia semalam selepas hanya beberapa hari hidup/ REUTERS

RAFAH, 26 April- Bayi perempuan yang dilahirkan dari rahim ibunya yang terbunuh akibat serangan Israel di bandar Rafah di Gaza akhirnya meninggal dunia selepas hanya beberapa hari hidup, kata doktor yang menjaganya hari ini.

Bayi itu diberi nama Rouh, yang bermaksud 'jiwa'.

Ibunya, Sabreen Al-Sakani, cedera parah apabila serangan Israel mengenai rumah keluarga di Rafah, bandar paling selatan di Semenanjung Gaza yang dikepung, pada malam Sabtu.

Suaminya Shukri dan anak perempuan mereka, Malak yang berusia tiga tahun turut terbunuh.

Sabreen, yang hamil 30 minggu, dikejarkan ke hospital Emirati di Rafah.

Dia meninggal dunia akibat kecederaan parah tetapi doktor dapat menyelamatkan bayi itu menerusi pembedahan Caesarean.

Bagaimanapun, bayi itu mengalami masalah pernafasan dan mempunyai sistem imun yang lemah, kata Mohammad Salama, ketua unit neo-natal kecemasan di Hospital Emirati, yang telah menjaga Rouh.

"Dia meninggal semalam.

“Saya dan doktor lain cuba menyelamatkannya, tetapi dia meninggal dunia. Bagi saya secara peribadi, ia adalah hari yang sangat sukar dan menyakitkan.

"Dia dilahirkan semasa sistem pernafasannya belum matang, dan sistem imunnya sangat lemah dan itulah yang menyebabkan kematiannya. Dia menyertai keluarganya sebagai syahid,” kata Salama kepada Reuters melalui telefon.

Lebih 34,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam perang selama enam bulan di Gaza antara Israel dan Hamas, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Israel menafikan sengaja menyasarkan orang awam dalam kempennya untuk menghapuskan Hamas.

Sebahagian besar Gaza telah musnah akibat pengeboman Israel dan kebanyakan hospital di kawasan itu telah rosak teruk, manakala yang masih beroperasi mengalami kekurangan bekalan elektrik, peralatan pensterilan ubat dan bekalan lain.

“Nenek (Baby Rouh) menggesa saya dan doktor untuk menjaganya kerana dia akan menjadi seseorang yang akan mengekalkan ingatan ibu, suami, dan adik perempuannya, tetapi adalah kehendak Tuhan bahawa dia meninggal dunia,” tambah Salama.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI