fb fb fb fb fb

Insiden tikaman di sekolah: Gadis didakwa hadapi tiga pertuduhan cubaan membunuh

Foto Hiasan

LONDON, 26 April- Seorang gadis berusia 13 tahun membuat penampilan pertama di mahkamah di Wales hari ini atas tiga pertuduhan cubaan membunuh susulan insiden dua guru dan seorang murid ditikam di sebuah sekolah menengah.

Serangan itu berlaku di Sekolah Amman Valley di Ammanford, utara Swansea kira-kira pukul 11 pagi pada Rabu.

Susulan kejadian itu, sekolah terbabit 'dikurung' selama empat jam selepas penggera kod merah dibunyikan melalui sistem siaraya.

Dua guru dan seorang murid remaja yang ditikam dibawa ke hospital.

Gadis itu, yang namanya tidak boleh disiarkan kerana berusia bawah 18 tahun, mengesahkan nama dan alamatnya, namun tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika hadir di kandang tertuduh di Mahkamah Majistret Llanelli.

Pendakwa raya, Michael Cray berkata, gadis itu didakwa atas tiga pertuduhan cubaan membunuh dan memiliki senjata tajam di kawasan sekolah.

"Prosiding jenayah dibenarkan dan defendan mempunyai hak untuk mendapat perbicaraan yang adil," katanya.

Sekolah Amman Valley mempunyai 1,450 pelajar berumur antara 11 dan 18 tahun.

Gadis itu seterusnya akan hadir di Mahkamah Swansea Crown pada 27 Mei depan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI