fb fb fb fb fb

Pejuang Hizbullah maut dalam serangan terbaharu Israel

Serangan Israel ke atas perkampungan Kfar Kila di selatan Lubnan/AFP

BEIRUT, 22 Januari- Seorang pejuang Hizbullah maut selepas konvoi yang membawa pegawai tertinggi kumpulan itu, diserang. Serangan Israel dipercayai menyasarkan pemimpin tertinggi Hizbullah.

Pegawai berkenaan, bagaimanapun terselamat.

Menurut agensi berita AFP, serangan itu mencederakan seorang wanita yang berada di kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, sumber mengesahkan seorang pejuang Hizbullah terbunuh. Sumber itu, bagaimanapun menafikan bahawa serangan itu menyasarkan pemimpin tertinggi kumpulan itu.

Menurut pegawai keselamatan, pemimpin tertinggi Hizbullah berada dalam sebuah kenderaan bersama tiga orang lain, di belakang kereta yang dilanggar.

Sementara itu, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) rasmi Lubnan berkata seorang wanita Lubnan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialami dalam serangan itu.

NNA sebelum ini melaporkan satu kematian dalam serangan dron Israel ke atas Kafra, sebuah kampung berhampiran sempadan.

"Serangan yang menyasarkan sebuah kereta di Kafra membunuh seorang, manakala yang lain mengalami cedera ringan," kata NNA.

NNA berkata Israel menyasarkan beberapa lokasi di selatan Lubnan pada Ahad, termasuk lima buah rumah yang musnah di perkampungan sempadan Markaba. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tentera rejim zionis turut menyasarkan serangan terhadap kedudukan Hizbullah di Markaba serta lain-lain lokasi di selatan Lubnan termasuk pusat pemerintahan operasi Hizbullah dan kompleks tentera.

Sejak permulaan konflik Israel-Hamas di Gaza pada Oktober lalu, ketegangan telah memuncak di seluruh wilayah, dengan melibatkan kumpulan yang disokong Iran di Iraq, Syria dan Yaman serta Lubnan.

Israel telah berulang kali membedil perkampungan sempadan Lubnan yang menyebabkan lebih 195 orang terkorban di negara itu, termasuk sekurang-kurangnya 144 pejuang Hizbullah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN