fb fb fb fb fb

Isu perjanjian pelabuhan, PBB gesa Ethiopia adakan dialog dengan Somalia

FOTO REUTERS

KAMPALA, 21 Januari- Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Gutteres pada Ahad menggesa agar Addis Ababa dan Mogadishu untuk membuka ruang dialog bagi menyelesaikan pertikaian kedua-dua negara berhubung perjanjian pelabuhan yang dimeterai oleh Ethiopia bersama wilayah bebas, Somaliland.

Ketegangan di 'Tanduk Afrika memuncak sejak Ethiopia memeterai perjanjian bersama Somaliland pada 1 Januari lalu yang memberikannya akses ke laut.

Sebagai balasannya, Somaliland yang telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991 bakal menerima pengiktirafan rasmi daripada Ethiopia.

Namun, Addis Abba tidak mengesahkan perkara berkenaan sehingga kini.

Pada Khamis lalu, Somalia telah menolak perundingan dengan Ethiopia melainkan perjanjian berkenaan dibatalkan.

Somalia turut dilaporkan berikrar untuk menggunakan semua saluran undang-undang bagi menghentikan perjanjian tersebut.

“Kami sentiasa berpandukan prinsip kami yang berasaskan perpaduan, kedaulatan dan kemerdekaan wilayah termasuk Somalia", kata Guterres pada sidang media di Sidang kemuncak G77 di sini.

"kami berharap agar dialog itu nanti mampu sekurang-kurangnya mampu mencari jalan terhadap isu yang dihadapi kedua-dua negara", tambah Guterres.

Komen Guterres itu menambah gesaan sebelum ini yang diketuai Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika dan Liga Arab agar menghormati kedaulatan Somalia.

Ethiopia dan Somalia sebelum ini memang telah diketahui mempunyai sejarah hubungan yang tegang berkaitan perebutan wilayah yang mengakibatkan berlakunya dua peperangan pada penghujung kurun ke-20.

Mogadishu telah melabelkan perjanjian maritim oleh Ethiopia dan Somaliland sebagai tindakan pencerobohan.

Namun dakwaan tersebut dinafikan Ethiopia dan menganggap perjanjian tersebut tidak melanggar mana-mana undang-undang.

Di bawah perjanjian berkenaan, Somaliland bersetuju untuk memajakkan sejauh 20 kilometer atau (12 batu) pantai selama 50 tahun kepada Ethiopia yang berhasrat untuk membina sebuah pengkalan tentera laut dan pelabuahan komersial.

Ethiopia, negara kedua yang mempunyai paling ramai penduduk di Afrika tidak mempunyai akses ke laut selepas dari Eritrea yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 1993 berikutan perang selama tiga dekad.

Addis Ababa mempunyai akses ke pelabuhan di Eritrea sehingga kedua-dua negara itu berperang pada 1998 sehingga 2000.

Sejak itu Ethiopia telah menghantar kebanyakan perdagangan lautnya melalui Djibouti.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD