BANGKOK, 11 Jun- Kaunselor Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Derek Chollet dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Don Pramudwinai membincangkan cara untuk mengukuhkan perkongsian strategik Thailand-AS, di peringkat dua hala dan serantau.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand memaklumkan Chollet yang tiba semalam membuat kunjungan hormat ke atas Don yang juga Menteri Luar dan berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa global dan serantau.
“Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai situasi di Myanmar dan peranan Thailand serta usaha ASEAN.
"Mereka berbincang kemungkinan dan cara untuk meningkatkan kerjasama antara Thailand dan AS dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar seperti yang diutamakan oleh kedua-dua kerajaan," menurut kenyataan itu.
Chollet dan Don berpuas hati dengan peningkatan dinamisme dalam hubungan dua hala Thailand-AS.
Sementara itu, dalam ciapannya, Chollet berkata beliau mengadakan pertemuan yang sangat bermakna dengan Don mengenai kerjasama AS-Thailand.
"Kami bersetuju Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN (yang diadakan pada Mei) adalah satu kejayaan besar dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik akan meningkatkan kemakmuran bagi negara kita," katanya.
Kaunselor Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Derek Chollet dan
Timbalan Perdana Menteri Thailand Don Pramudwinai
Chollet sedang dalam rangka lawatan ke Thailand, Singapura dan Brunei bermula 7 hingga 14 Jun.
Di Singapura, Chollet akan menghadiri Dialog Shangri-La dan mengambil bahagian dalam perbincangan panel mengenai konflik di Myanmar dengan pegawai kanan.
Di Brunei pula beliau akan bertemu Menteri Luar II Erywan Yusof dan pegawai kanan lain, serta pemimpin masyarakat.