fb fb fb fb fb

Pegawai antirasuah makan suap dipecat

(Liu Yanping)

BEIJING, 1 September- Parti Komunis China yang memerintah pada Khamis memecat bekas pegawai penyiasat rasuah tertinggi kerana "penyalahgunaan kuasa secara sewenang-wenang" sekaligus muncul sebagai pegawai kanan terbaharu yang dijatuhkan dalam kempen antirasuah yang meluas.

Liu Yanping, yang sebelum ini merupakan pemain penting dalam Kementerian Keselamatan Negara yang dirahsiakan, didapati bersalah melakukan rasuah, kata badan pemerhati antirasuah tertinggi parti itu.

Pemecatannya dibuat selepas dua lagi bekas naib menteri keselamatan awam ; Sun Lijun dan Fu Zhenghua dipecat kerana rasuah pada 2021.

Liu "menyertai geng politik Sun Lijun" dan menjalani gaya hidup mewah seperti bermain golf dan jamuan, kata Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) dalam satu kenyataan.

Presiden Xi Jinping telah menerajui kempen antirasuah yang meluas dalam barisan parti itu, yang menurut penganalisis telah mencapai matlamat politiknya untuk menghapuskan musuh dan melemahkan puak saingan.

Pada 2020, Xi melancarkan kempen "rektifikasi" yang diperbaharui dengan menyasarkan polis, badan kehakiman dan pegawai keselamatan negeri di mana beliau berikrar untuk menghapuskan gejala rasuah sehingga ke akarnya.

Dalam perkembangan berlainan, CCDI juga mengumumkan pemecatan daripada parti Wang Bin, bekas pengerusi Syarikat Insurans Hayat China, dan bekas naib gabenor wilayah Liaoning, Hao Chunrong kerana rasuah.

Awal minggu ini, bekas naib gabenor wilayah Gansu, Song Liang, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menerima rasuah.-AFP


(Foto Hiasan)

Media Baharu