(Kapal kargo dengan bendera Turki Polarnet, membawa bijirin Ukraine, melalui
Jambatan Osmangazi memasuki Teluk Izmit, Turki pada Ogos lalu/REUTERS)
NEW YORK, 31 Oktober- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Turkiye dan Ukraine meneruskan usaha untuk melaksanakan perjanjian bijirin Laut Hitam dan bersetuju dengan pelan transit untuk 16 kapal walaupun Rusia menggantung penyertaannya daripada pakatan yang membenarkan eksport produk pertanian Ukraine ke pasaran dunia.
Moscow baru-baru ini, menghentikan peranannya dalam perjanjian Laut Hitam untuk "tempoh yang tidak ditentukan" dengan alasan ia tidak dapat "menjamin keselamatan kapal awam" selepas berlaku serangan di Laut Hitam.
Tindakan itu telah mencetuskan bantahan dari Ukraine, NATO, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, manakala PBB dan Turkiye, dua penyelaras utama perjanjian, berusaha untuk menyelamatkan perjanjian tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bimbang tentang langkah Rusia dan menangguhkan perjalanan untuk kapal asing serta cuba menghidupkan semula perjanjian yang bertujuan untuk meredakan krisis makanan global, kata jurucakapnya.
(Ladang gandum di perkampungan Zghurivka/REUTERS)
Menurut penganalisis, susulan langkah Rusia, niaga hadapan gandum Chicago melonjak lebih daripada 5 peratus pada hari Isnin kerana Rusia dan Ukraine adalah antara pengeksport gandum terbesar dunia.
Lebih daripada 9.5 juta tan jagung, gandum, produk bunga matahari, barli, biji serai dan soya telah dieksport sejak Julai.
Menerusi perjanjian itu, Pusat Koordinasi Bersama (JCC) yang terdiri daripada pegawai PBB, Turkiye, Rusia dan Ukraine bersetuju perkara berkaitan transit dan pemeriksaan kapal.
Tiada kapal bergerak melalui koridor kemanusiaan maritim yang ditubuhkan pada hari Ahad.
PBB dalam satu kenyataan berkata ia telah bersetuju dengan Ukraine dan Turkiye mengenai pelan pergerakan untuk 16 kapal pada hari ini, 12 kapal keluar dan empat masuk ke Pelabuhan Laut Hitam.
Katanya, pegawai Rusia di JCC telah diberitahu mengenai rancangan itu, bersama-sama dengan hasrat untuk memeriksa 40 kapal keluar pada hari Isnin dan semua peserta menyelaras dengan tentera masing-masing dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal komersial menerusi perjanjian itu.
Ahad lalu, pegawai Rusia berkata Moscow akan meneruskan dialog dengan PBB dan delegasi Turkiye mengenai isu-isu berbangkit kata PBB dalam kenyataannya. Bagaimanapun, tiada reaksi Rusia sebagai tindak balas terhadap rancangan transit pada Isnin.
Kementerian Pertahanan Turkiye berkata Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar telah menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia dan Ukraine untuk cuba menyelamatkan perjanjian itu dan telah meminta pihak berkenaan mengelakkan sebarang provokasi.
NATO dan Kesatuan Eropah telah menggesa Rusia untuk menimbang semula keputusannya.
Presiden AS Joe Biden pada Sabtu menyifatkan tindakan Rusia itu keterlaluan dan akan meningkatkan kebuluran.
Pada Ahad, duta Rusia ke Washington, memberi reaksi mengatakan tindak balas AS adalah "keterlaluan" dan membuat dakwaan palsu mengenai langkah Moscow.
Perjanjian bijirin itu membolehkan penghantaran dari Ukraine diaktifkan yang membolehkan jualan di pasaran dunia, menyasarkan ke tahap sebelum perang sebanyak 5 juta tan metrik nilai eksport dari Ukraine setiap bulan.
Bagaimanapun, sebelum tamat tempohpada 19 November, Rusia telah berkata bahawa terdapat masalah serius antaranya dan Ukraine, mengadu bahawa Moscow telah menyekat hampir 200 kapal daripada mengambil kargo bijirin.
Perjanjian itu memastikan laluan masuk dan keluar dari Odesa selamat, termasuk di dua pelabuhan Ukraine lain. -REUTERS