fb fb fb fb fb

PBB: Tiada lagi bayi baru lahir bersaiz normal di Gaza

Seorang wanita dan kanak-kanak Palestin yang hilang tempat tinggal menunggu di pintu masuk khemah sementara di sebuah kem di tepi jalan di Rafah/Foto AFP

WASHINGTON, 16 Mac - Situasi kemanusiaan di Gaza bagaikan mimpi ngeri buat ibu yang mengandung dan bayi mereka.

Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), situasi itu memaksa ibu mengandung menjalani pembedahan 'Caesarean Section' (C-Sect) tanpa bius yang mencukupi.

"Saya secara peribadi akan meninggalkan Gaza pada minggu ini dalam rasa kebimbangan dengan sejuta wanita dan gadis, terutamanya bagi 180 wanita yang bersalin setiap hari.

"Doktor di Gaza melaporkan bayi yang dilahirkan adalah kecil dan sakit serta meninggal dunia," menurut Wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Palestin, Dominic Allen.

Allen berkata selepas melawat hospital yang masih menyediakan perkhidmatan bersalin di utara Gaza.

"Doktor melaporkan bahawa mereka tidak lagi melihat bayi bersaiz normal.

"Apa yang mereka lihat, lebih banyak bayi yang lahir mati.... dan lebih banyak kematian neonatal, sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan zat makanan, dehidrasi dan komplikasi," katanya.

Bilangan kelahiran yang rumit adalah kira-kira dua kali ganda berbanding sebelum perang dengan Israel bermula, dengan ibu mengandung berada dalam keadaan tertekan, takut, kurang makan dan keletihan.

Penjaga kesihatan juga turut kekurangan bekalan yang diperlukan.

"Kami menerima laporan mengenai kekurangan anestetik untuk pembedahan Caesarean.

"Ibu-ibu itu sepatutnya memeluk bayi mereka, bukannya bayi dibungkus dengan beg mayat," katanya.

Allen berkata pihak berkuasa Israel enggan membenarkan beberapa penghantaran bekalan UNFPA, seperti kit untuk bidan dan mengeluarkan bekalan seperti lampu suluh serta panel solar.

"Ia adalah mimpi ngeri yang lebih daripada krisis kemanusiaan. Ia adalah krisis terhadap kemanusiaan... melampaui malapetaka," katanya.

Allen berkata, sepanjang dia memandu melalui Gaza apa yang disaksikan benar-benar mematahkan hatinya.

Allen menyatakan bahawa setiap orang yang ditemuinya kelihatan kurus kering dan keletihan akibat peperangan tanpa henti dan mereka bertahan untuk hidup.

Di satu pusat pemeriksaan tentera, katanya, dia melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berjalan penuh ketakutan dengan mengangkat tangan manakala kakaknya di belakang, memegang bendera putih. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN