fb fb fb fb fb

PBB terkejut nasib orang awam di utara Gaza.

Pasukan Pertahanan Awam Palestin mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan bangunan berikutan pengeboman Israel di utara Gaza./Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 28 Oktober- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres amat terkejut dengan kadar kematian, kecederaan dan kemusnahan disebabkan keganasan Israel di utara Gaza.

Menurut jurucakapnya, Stephane Dujarric, nasib orang awam Palestin yang terperangkap di utara Gaza tidak tertanggung.

"Setiausaha Agung terkejut dengan kadar kematian, kecederaan dan kemusnahan yang mengerikan di utara Gaza, dengan orang awam terperangkap di bawah runtuhan, sakit dan cedera tanpa rawatan, serta banyak keluarga kekurangan makanan dan tempat berlindung.

"Atas nama kemanusiaan, Guterres mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera, pembebasan tebusan tanpa syarat, dan akauntabiliti bagi jenayah di bawah undang-undang antarabangsa," kata Dujarric.

Selain serangan bertubi-tubi zionis, usaha menghantar bantuan kemanusiaan juga berterusan ditolak pihak berkuasa Israel.

Hanya beberapa pengecualian diberi, meletakkan banyak nyawa dalam bahaya.

Sementara itu, jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, menyelar pengepungan berterusan tentera rejim di Jabalia, Beit Hanun dan Beit Lahia, dengan 100,000 orang terperangkap.

"Selama 22 hari, tiada setitik air atau roti telah memasuki utara Semenanjung Gaza.

"Tentera zionis membunuh sesiapa sahaja yang cuba memberikan pertolongan kepada penduduk," kata Bassal dalam satu kenyataan.

Tentera Israel mendapat kritikan hebat dunia kerana operasinya di utara Gaza, di mana puluhan ribu orang awam terperangkap./AFP

 

Trainee2