BEIRUT, 28 Oktober- Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan Israel pada hari Ahad telah menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terkorban di selatan Lubnan.
Sembilan orang terkorban dan 38 cedera dalam serangan di Haret Saida, berhampiran bandar pelabuhan Sidon, menurut kenyataan kementerian.
Sekurang-kurangnya tujuh lagi, termasuk seorang jururawat dan tiga penyelamat, maut di perkampungan Ain Baal, dan lima lagi di Burj al-Shemali.
Serangan di Haret Saida, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Israel, telah memusnahkan keseluruhan tingkat atas sebuah bangunan tiga tingkat, menurut wartawan AFP di lokasi.
Bangunan berhampiran turut rosak akibat serangan tersebut. Tentera Lubnan telah menyekat akses ke kawasan tersebut yang kini sesak dengan penduduk yang berpindah dari kawasan lain di selatan Lubnan sejak Israel melancarkan serangannya terhadap Hezbollah pada bulan September.
Wartawan AFP melaporkan bahawa tiada amaran diberikan untuk penduduk berpindah dari kawasan itu sebelum serangan dilakukan.
Di Ain Baal, mangsa yang terkorban termasuk tiga petugas kesihatan yang sedang bertugas di sebuah pusat yang dikendalikan oleh Al-Rissala Association, sebuah badan amal yang berhubung kait dengan parti politik Syiah Amal, sekutu Hezbollah.
Seorang jururawat dan tiga orang lagi yang kebetulan berada di kawasan itu turut terkorban, menurut kementerian kesihatan.
Serangan dron Israel di Burj al-Shemali pula berlaku berhampiran sebuah sekolah yang diuruskan oleh agensi PBB untuk pelarian Palestin, menurut ketua majlis perbandaran yang dipetik oleh agensi berita ANI.
Jurucakap UNRWA menyatakan bahawa sekolah tersebut tidak terkena serangan secara langsung dan tiada kecederaan dilaporkan.
Sekurang-kurangnya 1,620 orang telah terkorban sejak konflik ini bermula pada 23 September, menurut pengiraan AFP berdasarkan data kementerian kesihatan.-AFP