GAZA CITY, 1 Mac – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menegaskan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Israel dan Hamas “mesti dikekalkan,” dengan hanya beberapa jam lagi sebelum fasa pertama tamat.
Kenyataan beliau dibuat selepas kumpulan Palestin, Hamas, menggesa tekanan antarabangsa terhadap Israel untuk memasuki fasa seterusnya gencatan senjata, manakala Mesir memaklumkan bahawa rundingan telah disambung semula di Kaherah.
Fasa pertama gencatan senjata itu dijadualkan tamat pada pagi Sabtu, selepas lebih 15 bulan pertempuran dan pengeboman di Gaza antara Israel dan Hamas dihentikan.
“Perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan mesti dikekalkan. Hari-hari mendatang adalah kritikal. Semua pihak mesti berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan perjanjian ini gagal,” kata Guterres di New York.
Namun, rundingan fasa kedua masih tertangguh.
Ia sepatutnya bermula 16 hari selepas fasa pertama, namun penganalisis dari kumpulan pemikir International Crisis Group, Max Rodenbeck, menjangkakan fasa kedua – yang bertujuan menamatkan perang secara kekal – tidak akan bermula pada Sabtu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata senario yang diutamakan oleh Israel adalah membebaskan lebih ramai tebusan melalui lanjutan fasa pertama, bukannya memasuki fasa kedua.
Hamas dalam satu kenyataan menegaskan “dengan berakhirnya fasa pertama gencatan senjata”, kumpulan itu “menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan semua ketetapan perjanjian dalam semua fasa dan butirannya”.
Hamas juga menggesa tekanan antarabangsa dikenakan ke atas Israel supaya “segera memasuki fasa kedua perjanjian tanpa sebarang kelewatan”.
Perkhidmatan maklumat negara Mesir, yang bertindak sebagai perantara, dalam kenyataan pada Khamis berkata: “Pihak berkaitan telah memulakan rundingan intensif bagi membincangkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata, dalam usaha berterusan untuk memastikan pelaksanaan perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.”
Sepanjang fasa pertama gencatan senjata, Hamas telah membebaskan secara berperingkat 25 tebusan Israel serta lima warga Thailand, manakala Israel membebaskan sekitar 1,700 tahanan Palestin.-AFP