fb fb fb fb fb

PBB sahkan lanjutan perjanjian bijirin Laut Hitam

(FOTO REUTERS)

GENEVA, 19 Mac - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa perjanjian membenarkan eksport bijirin, bahan makanan yang berkaitan dan baja dari pelabuhan-pelabuhan Ukraine telah dilanjutkan.

Perjanjian itu yang dikenali sebagai Inisiatif Bijirin Laut Hitam telah ditandatangani di Istanbul pada 22 Julai 2022.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan berkata PBB mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Turki atas sokongan diplomatik dan operasi bagi perjanjian itu namun tidak menyatakan tempoh lanjutan tersebut.

(FOTO REUTERS)

Pihak Ukraine berkata sebelum ini bahawa perjanjian bijirin telah dilanjutkan selama 120 hari namun jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova pada Sabtu memaklumkan agensi berita Rusia, Tass bahawa Rusia bersetuju untuk melanjutkan perjanjian itu hanya selama 60 hari.

Pada 22 Julai 2022, Rusia dan Ukraine secara berasingan menandatangani perjanjian di Istanbul dengan Turkiye dan PBB mengenai eksport bijirin dan baja dari Ukraine dan Rusia untuk memastikan bekalan ke pasaran global di tengah-tengah konflik bersenjata Rusia-Ukraine.

Perjanjian itu, yang pada mulanya berkuat kuasa selama 120 hari telah dilanjutkan pada pertengahan November 2022 selama 120 hari lagi hingga 18 Mac.

Dalam tempoh dua penggal pertama inisiatif itu, kira-kira 25 juta tan metrik bijirin dan bahan makanan telah dipindahkan ke 45 negara bagi membantu menurunkan harga makanan global dan menstabilkan pasaran.-REUTERS

Media Baharu