KAHERAH, 19 Mac - Mesir menjadi tuan rumah kepada pegawai Israel dan Palestin di bandar peranginan Sharm el-Sheikh dalam usaha yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Jordan bagi menenangkan lonjakan keganasan di Tebing Barat menjelang bulan suci Ramadan.
Pertemuan lima penjuru itu berikutan sidang kemuncak yang dirunding AS di Jordan pada 26 Februari yang pertama dalam beberapa tahun dalam menjamin ikrar Israel dan Palestin untuk meredakan kemelut, namun dicabar oleh puak di kedua-dua pihak dan gagal menghentikan keganasan di negara itu.
"Pertemuan di Sharm el-Sheikh bertujuan untuk menyokong dialog antara pihak Palestin dan Israel dalam usaha menghentikan tindakan unilateral dan memecahkan kitaran keganasan yang sedia ada," kata Kementerian Luar Mesir menerusi kenyataan.
Katanya, ia boleh memudahkan penciptaan iklim yang sesuai untuk meneruskan semula proses damai.
Palestin berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara merdeka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967.
Namun, rundingan damai terhenti sejak 2014 dan rakyat Palestin berkata perluasan penempatan Yahudi telah menjejaskan peluang sebuah negara yang berdaya maju ditubuhkan.
Bulan puasa bagi umat Islam bermula pada akhir Mac.
Pada tahun-tahun sebelumnya, pertempuran meletus di antara polis Israel dan penduduk Palestin di sekitar Masjid Al Aqsa Baitulmaqdis, pada kemuncak Ramadan.-REUTERS