NEW YORK, 19 September - Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock menggesa badan dunia itu segera melakukan pembaharuan dan berperanan aktif meredakan krisis di Gaza serta Ukraine.
Gesaan berkenaan dibuat menjelang persidangan enam hari yang bakal menghimpunkan hampir 150 pemimpin dunia di sini.
Perhimpunan Agung yang melibatkan 193 negara anggota itu akan berlangsung selama enam hari, menyaksikan ucapan daripada ketua negara, ketua kerajaan serta puluhan menteri.
Persidangan kali ini berlangsung ketika perang antara Israel dan Hamas di Gaza menghampiri tahun kedua dengan krisis kemanusiaan yang semakin buruk.
Pemantau antarabangsa memberi amaran kebuluran telah berlaku di wilayah terbabit dan dijangka merebak menjelang akhir bulan ini.
“Konflik Israel-Palestin tidak boleh diselesaikan dengan perang berterusan, penjajahan mahupun keganasan. Satu-satunya jalan menuju keamanan, keselamatan dan maruah yang berkekalan bagi kedua-dua pihak ialah penyelesaian dua negara,” kata Baerbock.
Sehari sebelum sesi ucapan pada 23 September, Perancis dan Arab Saudi akan menganjurkan sidang kemuncak khas pada 22 September bagi menggerakkan momentum ke arah penyelesaian dua negara.
Australia, Belgium, Britain, Kanada dan Perancis sebelum ini berikrar mengiktiraf negara Palestin, meskipun sebahagiannya menetapkan syarat-syarat tertentu.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas tidak akan hadir ke New York selepas Amerika Syarikat enggan memberinya visa, sekali gus mencetuskan kritikan meluas di PBB.
Beliau dijangka menyampaikan ucapan melalui sidang video pada sidang kemuncak Isnin serta pada Perhimpunan Agung, 25 September ini. - REUTERS