fb fb fb fb fb

Trump isytihar Antifa kumpulan pengganas selepas pembunuhan Charlie Kirk

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump / Foto REUTERS

WASHINGTON, 18 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengumumkan gerakan kiri radikal antifa sebagai “organisasi pengganas” susulan pembunuhan aktivis politik, Charlie Kirk.

Menerusi hantaran di Truth Social, Trump berkata beliau turut mencadangkan siasatan penuh ke atas pihak yang didakwa membiayai antifa “mengikut standard dan amalan undang-undang tertinggi.”

Langkah itu diumumkan sehari selepas pendakwa raya di Utah mendakwa Tyler Robinson, 22, atas tuduhan membunuh Kirk.

Setakat ini tiada bukti mengaitkan suspek dengan mana-mana kumpulan, malah motif sebenar masih menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden AS, JD Vance dalam wawancara bersama Fox News menyalahkan tindakan radikal kumpulan berhaluan kiri atas insiden tersebut.

Katanya, pentadbiran Trump sedang berusaha memastikan “rangkaian pembiayaan keganasan sayap kiri” akan ditangani seperti organisasi pengganas.

Namun pengkritik menuduh Trump menggunakan insiden pembunuhan Kirk sebagai alasan untuk menekan lawan politiknya.

Trump pernah mencetuskan cadangan sama pada 2020 ketika protes besar-besaran selepas kematian George Floyd di Minneapolis, tetapi pakar undang-undang ketika itu menegaskan ia sukar dilaksanakan serta menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan bersuara.

Pihak White House setakat ini belum memberikan butiran lanjut mengenai langkah baharu itu, termasuk perintah eksekutif yang sedang dirangka berkaitan keganasan politik dan ucapan berunsur kebencian. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD