LONDON, 7 April – Pemotongan belanjawan bantuan antarabangsa kini mengancam kemajuan yang telah dicapai dalam mengurangkan kadar kematian wanita ketika hamil dan melahirkan anak, menurut amaran terkini Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut laporan agensi-agensi PBB termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Isnin, kadar kematian ibu telah menurun sebanyak 40 peratus secara global antara tahun 2000 hingga 2023.
Penurunan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan asas.
Namun begitu, pencapaian itu kini berada dalam keadaan genting ekoran pemotongan dana bantuan oleh beberapa negara penderma utama.
WHO menyatakan bahawa laporan itu dikeluarkan susulan tindakan Amerika Syarikat membekukan bantuan asing dan menamatkan pembiayaan melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bagi sejumlah program kesihatan utama.
Britain dan beberapa negara lain turut merancang untuk mengurangkan bajet bantuan mereka.
“Salah satu mesej utama ialah pemotongan dana ini bukan sahaja mengancam kemajuan yang telah dicapai, malah berisiko menyebabkan kemunduran,” kata Penolong Ketua Pengarah WHO bagi Liputan Kesihatan Sejagat, Dr Bruce Aylward.
Beliau turut menyatakan pemotongan tersebut telah memberi kesan seperti pandemik terhadap sistem kesihatan global dan boleh membawa kesan struktur yang lebih mendalam dan berpanjangan.
WHO menegaskan, perkhidmatan penting bagi kesihatan ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak telah pun terjejas di banyak negara akibat pengurangan kakitangan, penutupan fasiliti kesihatan dan gangguan rantaian bekalan ubat-ubatan seperti rawatan untuk pendarahan dan pra-eklampsia.
Dalam masa sama, pemotongan dana dalam sektor rawatan malaria dan HIV juga memberi kesan tidak langsung terhadap kadar kelangsungan hidup ibu mengandung.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kemajuan dalam menurunkan kadar kematian ibu sebenarnya telah mula merosot sejak tahun 2016, malah sebelum langkah pemotongan bantuan diumumkan.
Pada tahun 2023, di sebalik kemajuan yang dicapai, seramai 260,000 wanita meninggal dunia akibat komplikasi ketika hamil dan bersalin – bersamaan seorang setiap dua minit.
Majoriti kes kematian tersebut adalah berpunca daripada faktor yang boleh dicegah dan dirawat.
Keadaan itu amat membimbangkan di negara yang dilanda konflik dan bencana alam.
Malah, Amerika Syarikat sendiri termasuk dalam senarai empat negara yang mencatatkan peningkatan ketara kadar kematian ibu sejak tahun 2000, bersama Venezuela, Republik Dominican dan Jamaica.
Laporan turut merekodkan bahawa pandemik COVID-19 memburukkan keadaan apabila tambahan 40,000 kematian ibu direkodkan pada tahun 2021, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 322,000 bagi tahun tersebut.
“Walaupun laporan ini menunjukkan sedikit sinar harapan, data yang dikemukakan turut mendedahkan bahawa kehamilan masih merupakan satu risiko besar di banyak bahagian dunia – walhal penyelesaian telah pun wujud,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Laporan berkenaan turut dibiayai sebahagiannya oleh USAID.-REUTERS