WASHINGTON, 7 April- Seorang lagi kanak-kanak dilaporkan maut akibat wabak campak yang kini merebak di barat daya Amerika Syarikat (AS).
Ini menjadikan jumlah kematian kepada dua orang dan hampir 650 kes jangkitan dicatatkan.
Naib Presiden UMC Health System di Texas, Aaron Davis berkata kanak-kanak itu menerima rawatan di hospital dan berdepan komplikasi jangkitan campak sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa tidak pernah menerima vaksin campak dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang diketahui sebelum ini.
Wabak kali ini disifatkan sebagai yang terburuk di AS dalam beberapa tahun, dengan pihak berkuasa kesihatan kini berusaha mengekang penularannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr. yang sebelum ini sering mempertikai keberkesanan vaksin mengejutkan banyak pihak apabila mengakui bahawa vaksin MMR (campak, beguk dan rubela) merupakan kaedah paling berkesan untuk mencegah penyakit itu.
Dalam kenyataan di platform X pada Ahad, Kennedy berkata Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sedang menyokong usaha pengagihan vaksin di Texas.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau telah melawat negeri tersebut untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
Setakat Ahad, Kennedy mengesahkan terdapat 642 kes campak di seluruh 22 negeri, dengan 499 kes dilaporkan di Texas sahaja.
Kes turut dikenal pasti dari Alaska hingga ke Florida, termasuk di New York City.
Texas sebelum ini mencatat kematian pertama akibat campak pada akhir Februari, juga melibatkan seorang kanak-kanak, sekali gus menjadikannya kematian pertama sejak hampir sedekad lalu.
Satu lagi kematian turut direkodkan di New Mexico bulan lalu melibatkan seorang dewasa, dan telah diklasifikasikan oleh CDC sebagai berkaitan campak.
Menurut CDC, 97 peratus daripada pesakit yang dijangkiti tidak menerima vaksin campak, berdasarkan data terkini pada 3 April.- AFP