fb fb fb fb fb

PBB meterai perjanjian lindungi laut dunia

(FOTO AFP)

NEW YORK, 5 Mac-Negara anggota PBB bersetuju semalam tentang teks berkaitan perjanjian antarabangsa pertama melindungi laut lepas, selepas rundingan selama tergendala bertahun-tahun.

"Kapal itu akhirnya sampai ke pantai," kata pengerusi persidangan, Rena Lee, yang mengumumkannya di ibu pejabat PBB di New York sejurus sebelum 9:30 malam (waktu tempatan), dan disusuli tepukan gemuruh daripad perwakilan yang hadir.

Bagaimanapun, kenyataan tepat teks itu tidak diedarkan serta-merta, namun aktivis memujinya sebagai kejayaan bersejarah untuk memelihara kepelbagaian biologi selepas lebih 15 tahun perbincangan.

Perjanjian tersebut dilihat penting bagi memelihara 30 peratus daratan dan lautan dunia menjelang 2030, seperti yang dipersetujui oleh kerajaan dunia dalam perjanjian bersejarah yang ditandatangani di Montreal pada Disember lalu.

"Ini adalah hari bersejarah untuk pemuliharaan dan menjadi petanda bahawa walaupun dunia berpecah belah, dalam aspek melindungi alam semula jadi dan orang ramai masih boleh mengatasi kemelut geopolitik," kata Laura Meller dari Greenpeace.

Selepas dua minggu perbincangan sehingga semalam, perwakilan memuktamadkan teks yang kini tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

"Tidak akan ada perbincangan mengenai perkara itu," kata Lee kepada perwakilan.

Beliau berkata, perjanjian itu akan diterima pakai secara rasmi di kemudian hari sebaik saja ia diteliti oleh peguam dan diterjemahkan ke dalam enam bahasa rasmi PBB.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut memuji perwakilan dan menurut seorang jurucakap, perjanjian itu adalah 'kemenangan untuk multilateralisme dan usaha global menentang trend kerosakan yang dihadapi lautan ketika ini dan untuk generasi akan datang.

Apabila perjanjian baru berkuat kuasa, ia akan membenarkan penciptaan kawasan perlindungan marin di perairan antarabangsa ini.

Perjanjian itu juga akan mewajibkan negara menjalankan penilaian kesan alam sekitar terhadap aktiviti yang dicadangkan di laut lepas.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu