fb fb fb fb fb

PBB lulus perjanjian perangi jenayah siber

Foto AFP

NEW YORK, 9 Ogos- Negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan perjanjian antarabangsa bagi memerangi jenayah siber yang pertama kali diperkenalkan badan itu, walaupun mendapat tentangan hebat daripada aktivis hak asasi manusia yang memberi amaran tentang ancaman berkaitan kawal selianya.

Selepas tiga tahun rundingan dan sesi terakhir di New York sejak dua minggu lalu, negara anggota meluluskan 'Konvensyen PBB Menentang Jenayah Siber' secara konsensus.

Dokumen tersebut akan diserahkan kepada Perhimpunan Agung untuk diterima pakai secara rasmi.

"Saya menganggap dokumen ini diterima pakai. Ribuan terima kasih, tahniah kepada semua" kata Diplomat Algeria, Faouzia Boumaiza Mebarki selaku Pengerusi Jawatankuasa Penggubalan perjanjian.

Jawatankuasa itu ditubuhkan susulan langkah awal diambil Rusia pada 2017, walaupun mendapat tentangan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Perjanjian baharu itu akan berkuat kuasa selepas disahkan oleh 40 negara anggota PBB.

Ia bertujuan untuk mencegah dan memerangi jenayah siber dengan lebih cekap dan berkesan, terutama berhubung manipulasi penderaan seksual kanak-kanak dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, pengkritiknya aktivis hak asasi manusia dan syarikat teknologi gergasi mengecamnya kerana skop yang terlalu luas, mendakwa ia boleh dianggap sebagai perjanjian "pengawasan" global dan digunakan untuk penindasan.

Dokumen yang diterima pakai itu memperuntukkan bahawa sesebuah negara boleh menyiasat sebarang jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara minimum empat tahun di bawah undang-undang domestik.

Negara anggota boleh meminta pihak berkuasa negara lain untuk mengemukakan sebarang bukti elektronik yang dikaitkan dengan jenayah itu dan juga data daripada penyedia perkhidmatan internet.-AFP

ROSLINA BINTI DIN