GAZA, 9 Ogos- Sekurang-kurangnya 39,699 rakyat Palestin terkorban dan hampir 92,000 orang cedera dalam serangan berterusan Israel ke atas penduduk Gaza.
Memetik lawatan agensi berita Palestin, WAFA, serangan terbaharu Israel pada hari ke-308 yang menyasarkan beberapa kawasan di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin dan beberapa lagi cedera pagi tadi.
Empat penduduk dilaporkan terbunuh selepas tentera Israel mengebom sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza. Selain itu, dua individu terbunuh di kem pelarian Maghazi, tengah Gaza. Manakala, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Al-Awda dan Al-Aqsa.
Pasukan kecemasan menemui mayat dua mangsa, termasuk seorang kanak-kanak, di bandar Abasan, timur Khan Younis di selatan Gaza.
Sementara itu, satu lagi serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di timur kem pelarian Jabalia di utara Gaza, mencederakan 18 orang, termasuk kanak-kanak.
Semalam, pesawat Israel melakukan beberapa serangan udara ke atas Khan Younis di selatan Gaza, ketika arahan pemindahan baharu yang dikeluarkan oleh tentera Israel untuk beberapa kawasan kejiranan di bandar itu.
Beribu-ribu mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, tidak dapat diakses oleh pasukan kecemasan dan pertahanan awam akibat serangan Israel.