fb fb fb fb fb

PBB lancar rayuan dana bantu mangsa gempa bumi di Syria

(Foto AFP)

NEW YORK, 15 Februari- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan dana sebanyak AS$397 juta pada hari Selasa demi membantu mangsa gempa bumi di Syria.

Bencana itu telah menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban dan jutaan mangsa sedang bergelut dan memerlukan bantuan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang mengumumkan perkara tersebut di ibu pejabat PBB di New York, berkata dana itu untuk menyelamatkan nyawa hampir lima juta rakyat Syria dan menampung perbelanjaan mangsa untuk tempoh tiga bulan.

Tambahnya, badan dunia itu juga berada di peringkat akhir bagi melancarkan rayuan membantu mangsa gempa di Turkiye.

"Seminggu selepas gempa bumi yang dahsyat, berjuta-juta orang di seluruh rantau ini bergelut untuk terus hidup, kehilangan tempat tinggal dan berada dalam suhu yang sangat sejuk.

"Kami melakukan semua yang kami mampu untuk mengubahnya. Tetapi banyak lagi yang diperlukan, kata Gutteres.

Beliau menyeru negara anggota untuk "membiayai sepenuhnya usaha ini tanpa berlengah-lengah dan membantu berjuta-juta kanak-kanak, wanita dan lelaki yang kehidupan mereka terjejas oleh bencana tersebut.


(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres/AFP)

Guterres juga menggesa agar pekerja sukarelawan dibenarkan beroperasi secara bebas di Syria yang telah dilanda perang saudara selama 12 tahun.

Aktivis dan pasukan kecemasan di barat laut Syria telah mengecam tindak balas PBB yang perlahan terhadap gempa di kawasan yang dikuasai pemberontak.

Sebelum gempa bumi, hampir semua bantuan kemanusiaan penting untuk lebih empat juta penduduk yang tinggal di kawasan yang dikawal pemberontak di barat laut Syria dihantar melalui hanya satu laluan.

Isnin lalu, Guterres mengumumkan bahawa Presiden Syria Bashar al-Assad telah bersetuju untuk membuka dua lagi laluan sempadan dari Turkiye ke barat laut Syria untuk memudahkan penghantaran bantuan.

"Manusia yang menderita akibat bencana alam tidak seharusnya diburukkan lagi dengan halangan ciptaan manusia, akses, pembiayaan, bekalan," kata ketua PBB itu.

"Bantuan mesti melalui dari semua pihak, ke semua pihak, melalui semua laluan tanpa sebarang sekatan", katanya.- AFP

Media Baharu