fb fb fb fb fb

PBB kutuk serangan udara akibatkan kemusnahan tadika di Ethiopia

(Antara kerosakan akibat serangan udara ke atas sebuah tadika di Tigray, Ethiopia/REUTERS)

ADDIS ABABA, 27 Ogos- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengutuk serangan udara yang 'memusnahkan sebuah tadika' di wilayah Tigray, Ethiopia yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat individu termasuk dua kanak-kanak.

Serangan pada Jumaat di ibu kota Tigray, Mekele itu berlaku beberapa hari selepas pertempuran meletus di sempadan selatan wilayah antara tentera kerajaan dan pemberontak, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang berlangsung selama lima bulan.

"UNICEF mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara itu yang mengakibatkan kemusnahan sebuah tadika, membunuh beberapa orang kanak-kanak dan mencederakan orang lain," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell, di Twitter.

Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) yang mengawal wilayah utara berkata, serangan udara itu memusnahkan sebuah tadika dan kawasan kediaman orang awam.

Addis Ababa berkata, ia hanya menyasarkan pangkalan tentera dan menuduh TPLF menyebabkan kematian orang awam.

Ketua Pengarah Klinikal di Hospital Rujukan Ayder Mekele, Kibrom Gebreselassie, memberitahu AFP, empat orang terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua orang kanak-kanak.

Beliau juga berkata, sembilan lagi individu lain diberikan rawatan kerana mengalami kecederaan.

Rangkaian televisyen tempatan, Tigrai TV, berkata angka kematian mencecah tujuh orang dan turut menyiarkan rakaman peralatan taman permainan yang rosak di tempat kejadian.

Perang selama 21 bulan di utara Ethiopia sudah 'menyebabkan kanak-kanak terpaksa menanggung impak terbesar'.

"Selama hampir dua tahun, kanak-kanak dan keluarga mereka di rantau ini telah menanggung penderitaan akibat konflik berkenaan. Ia mesti berakhir," katanya. -AFP

(Kerosakan akibat serangan udara ke atas sebuah tadika di Tigray, Ethiopia/REUTERS)

Berita berkaitan
Serangan udara di bangunan tadika membunuh 7 kanak-kanak

Media Baharu