OSLO, 9 Mei- Sekumpulan negara di utara Eropah dan United Kingdom (UK) menyokong cadangan Amerika Syarikat (AS) mengenai gencatan senjata 30 hari tanpa syarat antara Rusia dengan Ukraine.
"Kami memerlukan gencatan senjata, pertamanya gencatan senjata tanpa syarat," kata Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store.
"Langkah itu perlu dipantau dan dihormati sebelum pergerakan seterusnya, iaitu rundingan berkaitan isu-isu besar untuk mencapai keamanan," katanya.
Store berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Pasukan Ekspedisi Bersama (JEF), di sini.
JEF merupakan gabungan terdiri daripada 10 negara, melibatkan Denmark, Estonia, Finland, Iceland, Latvia, Lithuania, Belanda, Norway, Sweden dan UK.
Penubuhannya bagi bertindak balas dengan pantas kepada krisis.
Menurut Store, Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah dihubungi berhubung cadangan tersebut.
"Penekanan turut diberikan mengenai keperluan untuk bertanggungjawab terhadap gencatan senjata tersebut. Jika ia tidak dihormati, sekatan harus dikenakan," katanya.
Terdahulu, Trump menerusi media sosialnya menggesa "gencatan senjata selama 30 hari tanpa syarat" selepas bercakap dengan Zelensky. AFP