fb fb fb fb fb

PBB kutuk serangan bom ke atas masjid di Afghanistan

NEW YORK, 1 Mei - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam mengutuk serangan bom di ibu negara Afghanistan yang memusnahkan sebuah masjid serta mengorbankan sekurang-kurangnya 10 jemaah.

"Setiausaha Agung PBB mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut Jumaat lalu ke atas Masjid Khalifa Sahib di barat Afghanistan, Kabul ketika jemaahnya sedang menunaikan solat.

"Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera cepat sembuh," kata jurucakap Guterres dalam satu kenyataan.

Tambahnya, serangan terhadap orang awam dan kemudahan awam termasuk masjid adalah dilarang sama sekali seperti yang tertakluk di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menurut seorang pegawai, letupan bom pada Jumaat itu disasarkan terhadap anggota masyarakat minoriti sufi yang sedang menyertai upaca keagamaan selepas selesai solat Jumaat.

(Seorang lelaki Afghanistan yang cedera menerima rawatan di sebuah hospital selepas letupan bom di Masjid Syiah Seh Dokan di Mazar-i-Sharif pada 21 April lalu/FOTO AFP)

Rakaman imej letupan yang mengerikan itu menular di media sosial. Mangsa yang terselamat cuba melarikan diri keluar dari masjid dan beberapa daripada bergegas membawa kanak-kanak untuk keluar.

Malah, di lantai perkarangan masjid, jelas kelihatan tompokan darah akibat insiden itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafi Takor, memaklumkan sekurang-kurangnya 10 jemaah terbunuh sementara 30 lagi dilaporkan cedera menurut polis Kabul.

Siri pengeboman itu merupakan serangan terbaru yang menggegarkan Afghanistan ketika bulan Ramadan.

Pada minggu sebelumnya, satu letupan mengorbankan lebih 50 jemaah selepas solat Jumaat di masjid Kabul, juga didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh. - AFP

Media Baharu