fb fb fb fb fb

Kes COVID-19 meningkat, Taiwan tidak laksana sekatan sekejam China

(FOTO AFP)

TAIPEI, 1 Mei- Meskipun berdepan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19, Taiwan tidak akan bertindak sekejam China dalam melaksanakan sekatan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Negara itu merekodkan lebih 10,000 kes baharu buat pertama kali pada Khamis selepas kerajaan memutuskan untuk berubah daripada strategi sifar kes kepada hidup bersama virus.

Hari ini jumlah kes positif baharu mencecah 16,939 kes.

Keputusan Taiwan beralih ke fasa baharu itu, meninggalkan jirannya China juga hab kewangannya Hong Kong -- yang masih berpegang kepada polisi sifar kes meskipun berlaku penularan varian Omicron sehingga menyebabkan sekatan pergerakan yang menyukarkan.

“Kami tidak akan mengenakan perintah berkurung sekejam China,” kata Perdana Menteri, Su Tseng-Chang kepada pemberita sebelum mesyuarat tertinggi kerajaan berkenaan pencegahan pandemik.

“Negara di seluruh dunia sudah memulakan hidup bersama virus. Taiwan… akan terus bergerak ke arah hidup normal dan secara berperingkat menuju ke fasa baharu dalam pencegahan wabak," katanya pada mesyuarat tersebut.

Komen ‘pedas’ Su, pemimpin parti yang cenderung kepada kemerdekaan Taiwan – dibuat tatkala ketegangan memuncak selama bertahun-tahun antara China dan negara kepulauan itu kerana Beijing menganggap, Taiwan sebahagian wilayahnya.


(Penduduk menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin
Medigen dan Moderna pada 29 April 2022/AFP)

Taiwan telah menutup sebahagian besar sempadan dan melaksanakan peraturan kuarantin lebih ketat bagi membendung penularan COVID-19 seterusnya memastikan kadar jangkitan kekal rendah.

Tahun lalu, pelaksanaan langkah itu menyebabkan kesan ekonomi agak serius, namun berjaya dikawal.

Tahun ini, penularan sekali lagi meningkat, namun para pemimpin telah memberi isyarat bahawa kerajaan akan mengikut langkah Singapura, Australia dan New Zealand yang telah membuka sempadan, iaitu beralih daripada strategi sifar kes.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Chen Shih-chung memberi amaran bahawa kes harian Taiwan mungkin meningkat lebih dua kali ganda kepada 37,000 kes dalam seminggu.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan lebih 99.7 peratus daripada 89,900 jangkitan yang direkodkan sejak 1 Januari lalu, hanya mengalami simpton ringan atau tanpa gejala.

Setakat ini, kira-kira 80% penduduk telah menerima vaksinasi lengkap dan 60% telah melengkapkan dos ketiga. -AFP

Media Baharu