fb fb fb fb fb

PBB kenal pasti 158 firma antarabangsa dikaitkan dengan penempatan Israel

Sebahagian daripada penempatan haram Isreal di Ma'ale Adumim di Tebing Barat yang diduduki. -Foto REUTERS

GENEVA, 27 Sept- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kemas kini terbaharu senarai 158 syarikat antarabangsa dari 11 negara didapati terbabit dengan aktiviti di penempatan haram Israel.

Firma besar seperti Airbnb, Booking.com, Motorola Solutions dan Trip Advisor kekal dalam senarai, manakala beberapa syarikat lain termasuk Alstom dan Opodo dikeluarkan daripada senarai.

Kebanyakan syarikat berpangkalan di Israel, manakala yang lain berpangkalan di Kanada, China, Perancis, Jerman, Luxembourg, Belanda, Portugal, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat.

PBB menerusi laporan itu menyeru syarikat agar mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani kesan buruk hak asasi manusia susulan daripada aktiviti mereka.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk telah mengecam dasar penempatan haram Israel di wilayah Palestin di Tebing Barat yang diduduki dengan menyifatkannya sebagai jenayah perang.

"Laporan ini menggariskan tanggungjawab dan usaha sewajarnya oleh firma berkenaan untuk memastikan aktiviti mereka tidak menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia," kata Turk dalam satu kenyataan.

Senarai itu pertama kali dikeluarkan pada 2020 selepas resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB menuntut pangkalan data firma yang mendapat keuntungan daripada perniagaan di wilayah Palestin yang diduduki secara haram.

Pejabat Hak Asasi PBB diminta menyenaraikan syarikat yang didapati terlibat dalam mana-mana daripada 10 aktiviti, termasuk pembinaan, pengawasan, perobohan dan pemusnahan tanah pertanian di penempatan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Walaupun terdapat keperluan untuk pangkalan data dikemas kini setiap tahun, ia telah disemak hanya sekali sebelum ini iaitu pada tahun 2023, apabila beberapa syarikat yang dinamakan dalam senarai asal telah dikeluarkan.

"Sebanyak 68 syarikat baharu telah ditambah ke dalam senarai yang diterbitkan pada 2023, manakala tujuh daripadanya telah dikeluarkan kerana ia tidak lagi terlibat dalam mana-mana aktiviti berkenaan," kata pejabat hak asasi manusia itu.

Menurut agensi berkenaan, senarai terbabit tidak lengkap, dan mereka hanya mempunyai masa untuk menyemak 215 daripada 596 syarikat.

Untuk kemas kini terbaharu ini, mereka telah mengutamakan syarikat yang mempunyai hubungan fizikal langsung di kawasan penempatan haram Israel iaitu dalam bidang pembinaan, hartanah, perlombongan dan kuari.

Bakinya akan dinilai dalam kemas kini lain pada masa depan. -AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello