fb fb fb fb fb

MSF gantung operasi di Bandar Gaza susulan serangan Israel

Foto AFP

GENEVA, 27 Sept- Badan amal perubatan antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) terpaksa menggantung operasinya di Bandar Gaza akibat serangan berterusan Israel.

Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel melancarkan serangan bertali arus di bandar berkenaan, menyebabkan ratusan ribu orang terpaksa melarikan diri.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menghentikan aktiviti disebabkan kemudahan klinik kami dikepung tentera Israel.

"Ini adalah langkah terakhir yang diambil memandangkan keperluan di Kota Gaza sangat mendesak," kata Jacob Granger, penyelaras kecemasan MSF di Gaza.

Menurut beliau, antara yang paling memerlukan bantuan pihaknya ialah bayi pramatang, mereka yang mengalami kecederaan parah serta pesakit yang tidak dapat bergerak dan dalam risiko besar.

Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh semalam di seluruh wilayah itu, termasuk 11 di Bandar Gaza.

Terdahulu, tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, tentera udara telah menyerang lebih 140 sasaran di seluruh Gaza, termasuk terowong dan infrastruktur ketenteraan.

Rakaman AFP dari kem pelarian Al-Shati berhampiran Bandar Gaza menunjukkan kerosakan teruk pada bangunan selepas serangan udara Israel. -AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello