LONDON, 26 September- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Jumaat mengumumkan pelaksanaan kad pengenalan digital wajib bagi semua individu yang bekerja di United Kingdom.
Ini sebagai langkah mengekang imigresen haram dan mengawal sempadan negara itu.
"Anda tidak akan dibenarkan bekerja di United Kingdom sekiranya tidak memiliki ID digital. Semudah itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Global Progress Action 2025 di London.
Beliau berkata dasar itu akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya sebelum penggal Parlimen semasa berakhir, dengan matlamat mengekang pekerja tanpa dokumen sah dalam ekonomi gelap serta memastikan keadilan dalam sistem imigresen.
Isu imigresen kini menjadi tumpuan utama politik di Britain, mengatasi kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi, susulan rekod jumlah permohonan suaka.
Lebih 28,000 migran dilaporkan tiba dengan bot kecil menyeberangi Selat Inggeris setakat tahun ini manakala lebih 32,000 migran ditempatkan di hotel di seluruh negara sehingga akhir Jun.
Awal bulan ini, ratusan ribu orang menyertai perarakan antiimigresen di London dengan mengibarkan bendera England dan Britain serta bertembung dengan pihak polis, menjadikannya antara demonstrasi sayap kanan terbesar di negara itu dalam era moden. -REUTERS