fb fb fb fb fb

Belarus cadang bina loji nuklear baharu di kawasan Ukraine yang dikuasai Rusia

Foto Reuters

MOSCOW, 26 September- Presiden Belarus, Alexander Lukashenko mencadangkan pembinaan sebuah loji kuasa nuklear di timur negara itu yang berpotensi membekalkan tenaga elektrik ke kawasan Ukraine yang dikuasai Rusia.

Lukashenko mengemukakan cadangan tersebut kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika pertemuan di Kremlin, Moscow pada Jumaat.

“Jika keputusan dibuat, kami akan segera memulakan pembinaan unit kuasa baharu atau stesen baharu sekiranya ada keperluan tenaga elektrik di barat Rusia dan wilayah yang dibebaskan,” katanya merujuk kepada istilah yang digunakan Moscow bagi menggambarkan kawasan Ukraine yang ditawan.

Putin dalam reaksinya berkata pembiayaan tidak menjadi isu.

“Selagi ada pengguna yang mahu mengambil elektrik itu dan membayar tarif diperlukan, ia bukan masalah sama sekali,” katanya.

Cadangan itu sekali lagi menggambarkan hubungan rapat antara kedua-dua pemimpin, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada masa sama dilaporkan cuba menawarkan insentif kepada Lukashenko untuk membebaskan tahanan politik dan memperbaiki hubungan dengan Barat.

Belarus merupakan sekutu rapat Moscow dan menyokong perang Rusia di Ukraine termasuk membenarkan tenteranya menggunakan wilayah Belarus untuk menceroboh Ukraine pada 2022.

Lukashenko juga merupakan pemimpin asing yang paling kerap bertemu Putin. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM