HUALIEN, 26 September- Kekeliruan dalam menilai potensi bencana dipercayai menjadi punca kelewatan operasi pemindahan di pantai timur Taiwan selepas hujan lebat akibat Super Taufan Ragasa.
Hujan lebat pada Selasa menyebabkan tasik takungan sementara (barrier lake) di pergunungan Hualien melimpah, sekali gus mengalirkan lumpur dan air deras ke pekan Guangfu.
Penolong profesor di Sekolah Siswazah Pengurusan Bencana, Universiti Polis Pusat, Lu Jing-chein berkata beliau menjangkakan limpahan berlaku berdasarkan data dan amaran kerajaan.
Namun, beliau terkejut apabila melihat rakaman kenderaan dihanyutkan air berlumpur kerana menyangka penduduk sudah berpindah sekurang-kurangnya sejam sebelum bencana melanda.
“Orang ramai mungkin menyangka limpahan ini sama seperti banjir kilat, tetapi tidak menjangkakan ia membawa muatan mendapan lumpur dan pasir yang begitu deras dan kuat,” katanya sambil menambah bahawa orang awam kurang memahami fenomena berkenaan dan meremehkan kesannya.
Sementara itu, seorang peniaga berusia 72 tahun, Cheng Tung-cheng, berkata kedai ais miliknya musnah dihanyutkan air walaupun kawasan itu tidak termasuk dalam zon pemindahan.
Di sebuah pusat pemindahan di sebuah gereja, ketua kampung Dama, Wang Tse-an, berkata arahan pemindahan wajib menyelamatkan kawasan itu daripada korban jiwa.
Namun, beliau menambah, keadaan berbeza di kampung lain yang menyaksikan ramai penduduk terkorban atau hilang akibat kelewatan pemindahan.
Dalam pada itu, isu tasik takungan sementara yang terbentuk akibat taufan sebelum ini dan kini tinggal hanya lapan peratus daripada isipadu asal, masih belum diselesaikan pihak berkuasa. -REUTERS