BANDAR GAZA, 27 Sept- Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam serangan Rejim Zionis Israel di seluruh Gaza pada Jumaat.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, daripada jumlah itu, 30 mangsa adalah penduduk Bandar Gaza.
Serangan diteruskan ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB di New York dengan angkuh berikrar untuk menghapuskan kumpulan Hamas.
Menurutnya, tentera Israel telah menghancurkan sebahagian besar infrastruktur ketenteraan Hamas dan berusaha untuk menyelesaikan tugas itu "secepat mungkin."
Sehari sebelum itu, Tentera Israel memaklumkan tentera udaranya telah menyerang lebih 140 sasaran di seluruh Gaza, termasuk terowong dan infrastruktur ketenteraan.
Rejim Zionis telah melancarkan serangan daratnya ke atas Bandar Gaza pada 16 September lalu.
Tentera Israel memaklumkan, 700,000 rakyat Palestin telah meninggalkan hab bandar itu sejak akhir Ogos.
Pejabat Kemanusiaan PBB pula merekodkan perpindahan 388,400 orang sejak pertengahan Ogos, kebanyakannya dari Bandar Gaza.
Sementara itu, seorang pelarian Palestin berusia 50 tahun yang tinggal di bandar khemah Al-Mawasi di Pantai Mediterranean, Um Youssef al-Shaer berkata, kawasan itu telah menjadi sesak apabila semakin ramai penduduk Palestin mencari perlindungan.
"Kami bertimbun di atas satu sama lain dalam satu khemah. Saya, suami, enam anak kami dan mentua yang sudah tua, 10 orang dalam sebuah khemah kecil," katanya.
Sekurang-kurangnya 65,549 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam telah terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza, sejak hampir dua tahun. - AFP