NEW YORK, 27 September - Iran menyokong penuh semua perjanjian melibatkan gencatan senjata di Gaza.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian menegaskan, gencatan senjata adalah perkara utama yang perlu direalisasikan bagi menamatkan kekejaman rejim Zionis di Palestin.
"Sebarang perjanjian yang boleh menghentikan tragedi ini, yang boleh menyelamatkan nyawa dan menghentikan kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak mendapat sokongan penuh kami," katanya kepada media di luar perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Beliau menyatakannya susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam yang yakin satu perjanjian telah dicapai untuk menamatkan perang di Gaza.
Ia rentetan rundingan beberapa negara Arab dengan Israel minggu ini.
Pezeshkian dalam pada itu mengakui operasi ketenteraan yang dijalankan negara haram Israel di Gaza sejak Oktober 2023 merupakan satu tindakan diluar batas kemanusiaan.
"Bagaimana manusia boleh bertindak kejam seperti ini," katanya.