GAZA, 27 September- Badan kebajikan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggantung aktiviti perubatannya di Gaza berikutan kemaraan tentera Israel di wilayah itu.
Penyelaras Kecemasan MSF, Jacob Granger dalam satu kenyataan mengakui mereka tidak mempunyai pilihan lain memandangkan semua klinik telah dikepung rejim Zionis
"Kami tiada pilihan lain selain menghentikan aktiviti kami, kerana klinik-klinik kami telah dikepung oleh tentera Israel," jelasnya.
Granger dalam pada itu mengulangi keperluan mendesak penduduk Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Ini berikutan terlalu ramai penduduk yang mengalami kecederaan parah dan penyakit yang mengancam nyawa.
"Situasi ini termasuk serangan udara berterusan dan kemaraan kereta kebal kurang satu kilometer dari kemudahan penjagaan kesihatan kami. Serangan yang semakin meningkat daripada tentera Israel telah mewujudkan tahap risiko yang tidak boleh diterima oleh petugas kami, memaksa kami untuk menggantung aktiviti perubatan yang menyelamatkan nyawa," tambah MSF.
MSF turut menggesa keganasan diluar batasan itu dihentikan serta-merta.
Langkah konkrit perlu diambil untuk melindungi orang awam serta menjamin akses tanpa halangan dan keselamatan bagi organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza.