fb fb fb fb fb

PBB jangka perpindahan besar-besaran, sekiranya sektor tenaga Ukraine diserang

Stesen kuasa di di wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine/ REUTERS

GENEVA, 15 November- Sebarang serangan tambahan Rusia ke atas sistem tenaga Ukraine boleh mencetuskan gelombang perpindahan besar-besaran ketika peralihan musim sejuk, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Ukraine Matthias Schmale berkata, bantuan yang diterima tidak dapat menampung keperluan ketika musim sejuk berikutan serangan yang dilancarkan Rusia.

"Kebimbangan sebenar adalah jika mereka menyasarkan sektor tenaga sekali lagi, ini boleh menjadi titik permulaan untuk perpindahan besar-besaran di dalam negara dan di luar negara," katanya kepada pemberita di sini.

Sebarang perpindahan selanjutnya akan menambah kepada 3.6 juta penduduk yang kini dipindahkan di dalam Ukraine dan lebih daripada enam juta melarikan diri ke sempadan berikutan konflik yang tersetus antara Rusia dan Ukraine pada Februari 2022.

Kira-kira 65 peratus daripada pengeluaran tenaga Ukraine terganggu disebabkan serangan Rusia, kata Schmale.

Ukraine kini bergantung kepada kuasa yang dijana oleh loji nuklear.

PBB dan rakan kongsi sedang melaksanakan Pelan Tindak Balas Musim Sejuk Kemanusiaan bertujuan menangani keperluan kecemasan dengan menghantar bahan api dan barangan lain bagi memastikan keadaan penduduk kekal terjamin.

Dalam pada itu tempat perlindungan, dikenali sebagai Invincibility Points telah disediakan bagi menghadapi situasi berkenaan.

Schmale juga menyuarakan kebimbangan berikutan masih ada penduduk yang terkandas di bangunan tinggi termasuk orang kurang upaya dan warga emas.

Setakat ini, pekerja bantuan cuba menyelamatkan kira-kira separuh daripada 1.7 juta penduduk yang terjejas akibat serangan berkenaan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI