fb fb fb fb fb

PBB harap China benarkan lawatan khas ke wilayah Xinjiang - AFP

FOTO AFP

NEW YORK, 6 Februari - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berharap Beijing membenarkan Ketua Hak Asasi badan dunia itu, Michelle Bachelet melakukan 'lawatan khas' ke China, termasuk ke wilayah Xinjiang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, menzahirkan harapan PPB itu dalam pertemuannya dengan Presiden Xi Jinping dan Menteri Luar China, Wang Yi ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung.

Bagaimanapun, China setakat ini tetap menolak kehadiran Bachelet, bekas Presiden Chile untuk melawat negara itu termasuk wilayah bergolak Xinjiang.

PBB dalam kenyataan berkata, Guterres menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama antara PBB dan China dalam segala aspek keamanan dan keselamatan, pembangunan mampan, perubahan iklim dan biodiversiti serta hak asasi manusia.

Mengenai perubahan iklim, Guterres mengiktiraf usaha penting dilakukan China untuk menangani perubahan iklim tetapi mengulangi rayuan untuk berusaha mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau.

Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat mengisytiharkan layanan China terhadap penduduk Uyghur di Xinjiang sebagai 'pembunuhan beramai-ramai', namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Beijing.

China turut menggesa pengkritik untuk berhenti mempolitikkan Sukan Olimpik yang dibayangi pelbagai isu seperti hak asasi, COVID-19 dan kebimbangan terhadap nasib atlet yang bersuara dalam isu Xinjiang dalam kejohanan itu. 

Media Baharu