fb fb fb fb fb

PBB gesa siasatan antarabangsa berhubung laporan penemuan kubur besar di dua hospital Gaza

PBB gesa siasatan antarabangsa berhubung laporan penemuan kubur besar di dua hospital Gaza

GENEVA, 23 April- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan antarabangsa berhubung laporan penemuan kubur besar di dua hospital di Gaza yang musnah dalam serangan tentera Israel.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk dalam kenyataan menuntut penyiasatan bebas, berkesan dan telus berhubung insiden itu, selain menyifatkan ia merupakan jenayah perang.

Serangan tentera Israel menyebabkan kemusnahan hospital terbesar Gaza, Al-Shifa dan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis.

Insiden pengeboman oleh tentera Israel terhadap hospital di Gaza telah berulang kali, sejak konflik Israel-Hamas, lebih enam bulan lalu.

"Hospital berhak mendapat perlindungan yang sangat istimewa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.

Katanya, PBB berkata tidak mempunyai akses kepada maklumat tentang kejadian di kedua-dua hospital terlibat.

Sementara itu, jurucakap Ravina Shamdasani berkata usaha sedang dilakukan untuk mengesahkan laporan dan butiran yang diberikan oleh pihak berkuasa Gaza.

Seramai 283 mayat ditemui di Kompleks Perubatan Nasser, termasuk 42 orang yang telah dikenal pasti.

"Mangsa dilaporkan telah tertimbus jauh di dalam tanah dan ditutup dengan runtuhan," katanya kepada pemberita di Geneva.

"Orang tua, wanita dan cedera dilaporkan antara yang maut. Yang lain didakwa ditemui dengan tangan diikat dan ditanggalkan pakaian mereka.

"Kira-kira 200 rakyat Palestin terbunuh semasa operasi ketenteraan Israel di Hospital Al-Shifa. Kira-kira 30 mayat dilaporkan ditemui tertimbus dalam dua kubur di perkarangan Hospital Al-Shifa.

"Terdapat laporan bahawa tangan beberapa mayat ini juga diikat," katanya.

Beliau berkata, setakat ini PBB tidak dapat mengesahkan angka sebenar mangsa yang terbunuh di kedua-dua hospital, selain menekankan keperluan untuk penyiasatan antarabangsa.

"Jelas sekali terdapat banyak mayat ditemui," katanya.

Tambahnya, laporan bahawa ada yang diikat tangan menunjukkan pelanggaran yang serius terhadap undang-undang antarabangsa.

"Ini perlu tertakluk kepada siasatan lanjut", katanya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN