fb fb fb fb fb

PBB gesa kegiatan tentera dekat loji nuklear terbesar Eropah dihentikan

(FOTO AFP)

NEW YORK, 12 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kegiatan ketenteraan berdekatan loji kuasa nuklear terbesar Eropah di tenggara Ukraine kini semakin membimbangkan.

Ketua Nuklear PBB, Rafael Grossi menegaskan kegiatan tentera dengan memperalatkan loji nuklear sebagai perisai berisiko menyebabkan kesan buruk di rantau itu dan menggesa semua pertempuran dihentikan di situ.

Grossi, yang juga Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memberi penerangan secara maya kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dalam sidang yang diadakan oleh Russia untuk berbincang dakwaan serangan Ukraine di loji itu.

(Ketua Nuklear PBB, Rafael Grossi / FOTO FAIL AFP)

Beliau turut menggesa Russia dan Ukraine, yang menuding jari antara satu sama lain sebagai dalang serangan di loji itu, segera membenarkan pakar nuklear antarabangsa memeriksa kerosakan dan menilai tahap keselamatan di fasiliti Zaporizhzhia.

Beliau juga menuntut tindakan ketenteraan yang berisiko membahayakan keselamatan nuklear walau sekecil mana pun untuk dihentikan.

Rayuan itu selaras dengan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres semalam, yang menggesa semua kegiatan ketenteraan di loji Zaporizhzhia ditamatkan, kerana sebarang kerosakan boleh membawa kepada malapetaka di kawasan lebih luas.-AFP

Media Baharu