fb fb fb fb fb

Bantu ekonomi, pewaris Samsung dapat pengampunan presiden

(Foto fail AFP)

SEOUL, 12 Ogos- Pewaris kumpulan Samsung menerima pengampunan presiden hari ini, contoh terbaharu tradisi Korea Selatan dengan membebaskan pemimpin perniagaan yang disabitkan rasuah atas alasan ekonomi.

Jutawan Lee Jae-yong, yang disabitkan kesalahan rasuah dan penyelewengan pada Januari tahun lalu, akan "dikembalikan jawatan” untuk memberi peluang kepadanya "menyumbang untuk mengatasi krisis ekonomi" negara, kata Menteri Kehakiman Han Dong-hoon.

Lee- individu ke-278 paling kaya di dunia, menurut Forbes dengan kekayaan bersih AS$7.9 bilion – dibebaskan dengan parol pada Ogos 2021, selepas menjalani hukuman penjara 18 bulan, lebih separuh daripada hukuman asalnya.

Pengampunan itu membolehkan Lee kembali bertugas tanpa sebarang had dan sekatan bekerja selepas menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan selama lima tahun; ditarik balik.

“Disebabkan krisis ekonomi global, kedinamikan dan gaya hidup ekonomi negara telah merosot, juga bimbang kemerosotan ekonomi berpanjangan,” kata Kementerian Kehakiman dalam satu kenyataan, merujuk alasan pembebasan.

Pengampunana itu diberikan bagi membolehkan Lee – juga eksekutif peringkat tertinggi lain yang menerima pengampunan pada Jumaat, boleh “memimpin pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan melalui pelaburan lebih aktif dalam bidang teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan,” tambah kementerian itu.  

Lee, 54 tahun diberi pengampuan bersama tiga ahli perniagaan lain termasuk Pengerusi Lotte Group, Shin Dong-bin yang dijatuhkan hukuman penjara dua setengah tahun atas kesalahan rasuah pada 2018.

Seramai 1,693 individu – termasuk banduan yang menghidap penyakit berisiko mati serta mereka yang hampir tamat tempoh hukuman penjara – termasuk dalam senarai pengampunan itu, kata kementerian itu, menjelang ulang tahun Hari Pembebasan tahunan pada Isnin.

Ulang tahun itu menandakan pengunduran tentera Jepun dalam Perang Dunia II 1945, membebaskan Korea Selatan daripada penjajahan selama berdekad. Ulang tahun itu biasanya disambut setiap tahun dengan pengampunan ratusan banduan. -AFP


(Lee Jae-yong, Naib Pengerusi Samsung Electronics ketika hadir Majlis Makan Malam
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol di Seoul pada 10 Mei 2022/AFP)

Media Baharu