fb fb fb fb fb

Guterres ulangi pendirian jelas mahu penghapusan program nuklear Korea Utara

(FOTO AFP)

SEOUL, 12 Ogos- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan pendirian jelas dan komitmennya berhubung penghapusan program nuklear Korea Utara ketika lawatannya ke Seoul, seminggu selepas Pyongyang menyatakan “bersedia untuk menggerakkan” senjata pencegahan nuklearnya.

Gutterres tiba di Seoul pada Khamis selepas lawatan ke Jepun dimana Gutterres berucap sempena ulang tahun ke-77 serangan bom nuklear pertama di Hiroshima.

“Saya ingin tegaskan komitmen jelas kami terhadap penghapusan sepenuhnya program nuklear di Semenanjung Korea, DPRK merujuk nama rasmi Korea Utara," katanya semasa pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol.

Matlamatnya adalah “asas kepada objektif untuk membawa keamanan, keselamatan dan kestabilan ke seluruh rantau,” kata Guterres kepada Yoon, bedasarkan futej yang disiarkan media tempatan.

Kenyataan Guterres itu dibuat selepas pegawai Washington dan Seoul  telah berulang kali memberi amaran bahawa Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melaksanakan ujian nuklear ketujuhnya.


(Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres (kiri) dan Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin
selepas pertemuan di Kementerian Luar di Seoul pada 12 Ogos 2022/AFP)

Semalam, Pyongyang menyalahkan Seoul atas penularan COVID-19 di Korea Utara dan mengancam untuk “menghapuskan pihak berkuasa Seoul.” (Baca Seoul punca penularan COVID-19, amaran akan bertindak balas - adik Kim Jong Un)  

Tahun ini, Pyongyang sudah memecahkan rekod ujian senjata nuklear paling banyak dalam sejarah, termasuk ujian peluru berpandu antara benua paling berkuasa, pertama kali sejak 2017.

Bulan lepas, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata pihaknya “bersedia menggerakkan” senjata pencegahan nuklearnya dalam sebarang konflik tentera dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan pada masa hadapan.

Guterres menyuarakan amaran keras terhadap risiko tinggi senjata bom atom di New York pada persidangan utama Perjanjian Non-Proliferasi nuklear minggu lalu, dan perkara sama diulang ketika berada di Jepun Isnin lalu.

“Kami menyaksikan radikalisasi dalam situasi geopolitik yang menjadikan risiko perang nuklear berulang; sesuatu yang tidak dapat kami lupakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Tokyo. -AFP

Media Baharu