fb fb fb fb fb

PBB gesa G20 selesaikan rundingan COP29

Foto Reuters

BAKU, 16 November – Ketua iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara-negara G20 pada Sabtu untuk mendorong rundingan COP29 ke arah mencapai perjanjian dalam meningkatkan dana kepada negara-negara membangun.

Para perunding dilaporkan telah bekerja sepanjang malam untuk mengurangkan perbezaan pandangan mereka dalam perbincangan PBB di Baku.

Ini dilakukan sebelum ketibaan para menteri pada minggu hadapan bagi menghadiri hari-hari terakhir sidang kemuncak tersebut, namun perbezaan utama masih belum diselesaikan.

Ketua iklim PBB, Simon Stiell, dalam rayuannya meminta pemimpin Kumpulan 20 negara, yang terdiri daripada ekonomi terbesar dan pencemar utama dunia, agar campur tangan semasa pertemuan mereka di Brazil pada Isnin depan.

"Sewaktu pemimpin-pemimpin G20 menuju ke Rio de Janeiro, dunia sedang memerhati dan mengharapkan isyarat tegas bahawa tindakan iklim adalah keutamaan bagi ekonomi terbesar dunia," ujar Stiell dalam satu kenyataan.

Negara-negara membangun, yang paling kurang menyumbang kepada pelepasan gas rumah kaca global, mahukan komitmen tahunan sebanyak AS$1.3 trilion untuk membantu mereka menangani kesan perubahan iklim dan beralih kepada tenaga bersih.

Jumlah ini adalah lebih sepuluh kali ganda daripada sumbangan penderma seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun pada masa ini.

Namun, rundingan berkenaan tergendala kerana isu seperti jumlah akhir, bentuk pembiayaan dan pihak yang harus menyumbang.

Negara-negara maju turut menggesa China dan negara-negara Teluk yang kaya menyertai senarai penderma.

Draf perjanjian terkini mengandungi 25 muka surat dan masih terdapat banyak pilihan yang perlu diselesaikan.

"Di Baku, para perunding bekerja tanpa henti untuk mencapai matlamat pembiayaan iklim baharu," jelas Stiell.

"Masih banyak yang perlu dilakukan, namun semua orang amat sedar tentang kepentingan pertaruhan ini, di pertengahan jalan COP," katanya lagi.

Beliau menekankan bahawa kemajuan dalam pembiayaan iklim di luar proses perbincangan ini juga adalah kritikal, dengan menekankan peranan penting G20.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN