fb fb fb fb fb

Cubaan masuk ke Thailand, 70 warga Rohingya ditahan

Foto Fail/Reuters

BANGKOK, 16 November- Thailand telah menahan seramai 70 pendatang tanpa izin (PTI) termasuk 30 kanak-kanak disyaki warga Rohingya dari Myanmar, di sebuah pulau di selatan negara itu.

Menurut seorang pegawai Thailand pada Sabtu, ia adalah sebahagian daripada gelombang terbaharu ketibaan pelarian di Asia Tenggara.

Di Myanmar, komuniti Rohingya dianggap sebagai pendatang asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan menjadi mangsa pelbagai bentuk penindasan.

"Berdasarkan soal siasat awal, mereka mengatakan bahawa mereka adalah muslim dari Myanmar yang menuju ke Malaysia atau Indonesia," kata Somkane Phothisri, komander polis wilayah Phang Nga kepada Reuters.

Selama bertahun-tahun, ramai warga Rohingya telah cuba melarikan diri ke negara jiran seperti Thailand dan Bangladesh dengan menaiki bot kayu yang uzur.

Mereka juga sering menuju ke Malaysia dan Indonesia, khususnya pada Oktober hingga April, apabila laut lebih tenang.

"Kami belum dapat menentukan sama ada mereka benar-benar Rohingya atau warga Myanmar yang memasuki negara ini secara haram," kata Gabenor Phang Nga, Supoj Rodrung na Nongkhai.

Jelas Rodrung, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Bulan lalu, beberapa bot yang membawa ratusan Rohingya telah mendarat di Indonesia.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM