fb fb fb fb fb

PBB beri amaran risiko penyakit selepas tanah runtuh Papua New Guinea

Foto AFP

PORT MORESBY, 30 Mei- Mangsa yang terselamat daripada tanah runtuh Papua New Guinea (PNG) berdepan risiko wabak penyakit dan masih belum menerima bekalan makanan dan air bersih yang mencukupi.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran selepas enam hari kejadian tanah runtuh, sumber air tercemar dan risiko penyakit semakin meningkat.

Sebahagian besar air di kawasan itu mengalir melalui tapak tanah runtuh, kini menjadi tanah perkuburan sepanjang 600 meter.

"Anak sungai yang mengalir itu kini tercemar, menimbulkan risiko besar wabak penyakit," kata agensi migrasi PBB menerusi laporan penilaian segera.

"Tiada kaedah digunakan untuk merawat air supaya selamat untuk diminum," katanya, memberi amaran tentang cirit-birit dan malaria.

Sepanjang minggu lalu, penduduk Yambeli dan Lapak menggali tanah dalam usaha mencari saudara mara yang tertimbus.

Pegawai tempatan berkata antara enam hingga 11 mayat telah ditemui.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB berkata, keutamaan ketika ini ialah mendapatkan air bersih, 'tablet penulenan' dan bekalan makanan.

"Ketiadaan maklumat yang tepat mengenai kawasan dan penduduk yang terjejas menghalang perancangan dan penghantaran bantuan kemanusiaan", katanya.

Insiden tanah runtuh itu turut menjejaskan jalan utama penduduk yang masih belum dibersihkan.

Pentadbir wilayah Enga, Sandis Tsaka, berkata kesukaran mendapatkan jentera ke tapak bencana berikutan risiko pergerakan tanah yang tidak stabil.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape menganggarkan jumlah kematian kira-kira 2,000 orang, sekali gus menjadi bencana tanah runtuh paling tragis.-AFP

ROSLINA BINTI DIN