fb fb fb fb fb

PBB beri amaran krisis Rusia - Ukraine dorong peningkatan perpindahan global

(FOTO AFP)

GENEVA, 16 Jun- Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mendorong peningkatan jumlah perpindahan global melebihi 100 juta buat pertama kalinya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis bahawa kekurangan makanan boleh memaksa lebih ramai lagi meninggalkan kediaman masing-masing.

Ketua Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, berkata usaha menangani krisis ketidaktentuan makanan global, yang diburukkan lagi dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, sangat penting bagi menghalang lebih ramai orang berpindah.

Pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine telah mencetuskan kekurangan mendadak bekalan bijirin dan baja, menyebabkan harga global melambung tinggi, disamping ratusan juta orang turut berisiko kelaparan.

Laporan tahunan UNHCR mengenai perpindahan global menunjukkan rekod tertinggi apabila 89.3 juta orang kehilangan tempat tinggal pada penghujung 2021, lebih dua kali ganda dalam tempoh satu dekad.

Namun sejak Rusia melancarkan pencerobohan pada 24 Februari lalu, seramai 14 juta rakyat Ukraine mungkin sudah keluar melarikan diri atau merentasi sempadan sebagai pelarian, mendorong perpindahan global melepasi paras 100 juta buat kali pertamanya.

(Foto fail/ AFP)

Agensi PBB itu mendapati pada akhir 2021, seramai 27.1 juta orang hidup sebagai pelarian, sementara bilangan pencari suaka pula meningkat 11 peratus kepada 4.6 juta.

Untuk tahun ke-15 berturut-turut juga, bilangan orang yang berpindah di negara sendiri akibat konflik turut meningkat mencecah 53.2 juta.

Laporan UNHCR menunjukkan, tahun lalu paling banyak jumlah konflik yang berlarutan khususnya di tempat-tempat seperti Afghanistan, biarpun ketika konflik baharu tercetus.

Pada masa sama, UNHCR memberi amaran kekurangan makanan semakin meningkat, inflasi dan krisis iklim menambahkan lagi kesukaran, selain tahap pembiayaan mendepani krisis juga semakin teruk.

Ini tidak berlaku ke atas Ukraine, kerana limpahan solidariti terhadap rakyat Ukraine yang melarikan diri disambut dengan tangan terbuka di seluruh Eropah.

Grandi memuji tindak balas terhadap krisis di sana, namun menunjukkan perbezaan cara pelarian yang melarikan diri dari peperangan di tempat lain seperti Syria dan Afghanistan.

Ketua pelarian PBB itu mengingati situasi bagaimana pemimpin Eropah sudah memberitahunya negara mereka sudah penuh apabila diminta untuk menerima lebih ramai pelarian dari Syria dan Afghanistan. -AFP

Media Baharu