fb fb fb fb fb

Parlimen Iraq luluskan kerajaan baharu

(Muhammad al-Halbousi (kiri) dan Mohammed Shia al-Sudani (kanan)
semasa undian percaya terhadap kerajaan baharu/AFP)

BAGHDAD, 28 Oktober- Parlimen Iraq meluluskan kerajaan baharu, satu langkah penting ke hadapan setelah pertelingkahan sengit antara puak Syiah dan pergolakan yang meragut nyawa selepas pilihan raya.

Bagaimanapun, kabinet Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani yang terdiri daripada 21 anggota dijangka menghadapi pelbagai cabaran.

Negara yang kaya dengan minyak tetapi dilanda perang itu dibelenggu isu rasuah, endemik, pengangguran yang berleluasa dan infrastruktur yang merosot.

"Pasukan menteri kami akan memikul tanggungjawab dalam tempoh kritikal ini, ketika dunia menyaksikan perubahan dan konflik politik serta ekonomi yang hebat," kata pejabat Sudani dalam satu kenyataan selepas pengundian.

"Perubahan itu akan menambah cabaran baharu kepada negara kita, yang sudah mengalami krisis tertunggak, yang mempunyai kesan ekonomi, sosial, kemanusiaan dan alam sekitar kepada rakyat kita", tambahnya.

 (Kabinet Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani (tengah) yang terdiri daripada 21
anggota dijangka menghadapi pelbagai cabaran/AFP)

Sudani, 52, dipilih untuk membentuk kerajaan baharu pada 13 Oktober berikutan pertelingkahan berbulan-bulan antara puak Syiah utama yang menjerumuskan negara itu dalam kebuntuan politik.

Ahli lain termasuk kumpulan Sunni yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammed al-Halbussi dan dua parti Kurdish utama.

Salah satu tugas pertama Sudani ialah mengguna pakai belanjawan untuk 2022, satu langkah penting bagi menyahsekat pendapatan besar daripada eksport minyak tahun ini yang disekat dalam bank pusat.

Rizab pertukaran asing berjumlah AS$87 bilion diperlukan untuk melaksanakan pembaharuan dan memulakan projek infrastruktur.

Walaupun rizab minyak dan gas besar, kira-kira satu pertiga daripada 41 juta penduduk Iraq kini hidup dalam kemiskinan, manakala kira-kira 35% orang muda menganggur, menurut PBB. -AFP

Media Baharu