fb fb fb fb fb

Parlimen Iraq bersidang pilih presiden baharu

(Foto Pejabat Halbousi)

BAGHDAD, 11 Oktober- Parlimen Iraq akan bersidang Khamis untuk "memilih presiden", kata Pejabat Speaker Mohammed al-Halbussi, dalam satu langkah mengejut yang dilihat cuba menamatkan kebuntuan politik selama berbulan-bulan.

Negara yang kaya dengan minyak tetapi bermasalah itu sudah membuat tiga percubaan tahun ini untuk memilih ketua negara baharu, antara 7 Februari hingga 30 Mac tetapi gagal.

Lebih setahun selepas pilihan raya umum lalu, pejabat Halbussi memaklumkan bahawa sidang parlimen kali ini akan membawa agenda, "pemilihan Presiden Republik".

Kali terakhir rakyat Iraq mengundi pada 10 Oktober 2021 dalam pilihan raya umum yang diadakan susulan gelombang bantahan besar-besaran terhadap rasuah endemik, pengangguran yang berleluasa dan infrastruktur yang merosot.

Menjelang pengumuman Halbussi, misi Pertubuhan Bangsa Bersatu menggesa puak politik supaya menamatkan kebuntuan dan memberi amaran bahawa "Iraq kesuntukan masa".

Negara itu masih belum membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya tahun lalu, meninggalkan Perdana Menteri sementara Mustafa al-Kadhemi bertanggungjawab.

Puak-puak Syiah yang bersaing di parlimen saling berebut pengaruh dan hak untuk memilih perdana menteri dan kerajaan baharu.

Kebuntuan menyaksikan kedua-dua pihak menubuhkan kem bantahan baru-baru ini dan ada kalanya mencetuskan pertempuran jalanan yang meragut nyawa di Baghdad. -AFP

(Speaker Parlimen Iraq Mohammed al-Halbussi (tengah) berkata penggubal undang-undang
merancang untuk memilih presiden baharu pada Khamis/Fail AFP)

 

Media Baharu