fb fb fb fb fb

Biden 'nilai semula' hubungan dengan Saudi

(FOTO REUTERS)

WASHINGTON, 11 Oktober- Presiden Joe Biden akan "menilai semula" hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan Arab Saudi berikutan keputusan OPEC+ untuk mengurangkan pengeluaran minyak, kata jurucakap White House.

"Saya fikir presiden sangat jelas bahawa ini adalah hubungan yang perlu kita terus menilai semula, yang kita perlu bersedia untuk megkaji semula," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby kepada CNN.

Minggu lalu 13 negara anggota kartel OPEC yang diketuai Saudi dan 10 sekutunya yang diketuai Rusia bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari mulai November  meningkatkan kebimbangan bahawa harga minyak boleh melambung tinggi.

Keputusan itu dilihat secara meluas sebagai tamparan diplomatik, sejak Biden melakukan lawatan ke Arab Saudi pada Julai dan bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Ia juga meletakkan parti Demokrat pimpinan Biden dalam keadaan sukar untuk menghadapi pilihan raya pertengahan penggal bulan depan dengan kenaikan harga pengguna isu utama yang diketengahkan oleh Republikan.

Kirby berkata Biden" bersedia bekerjasama dengan Kongres untuk memikirkan semula hubungan itu (dengan Arab Saudi) pada masa hadapan."

Kenyataannya dibuat sehari selepas Ketua Demokrat dalam Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, Senator Bob Menendez menggesa Washington menghentikan semua kerjasama dengan Arab Saudi.

"Amerika Syarikat mesti segera membekukan semua aspek kerjasama dengan Arab Saudi, termasuk sebarang penjualan senjata dan kerjasama keselamatan melebihi apa yang benar-benar diperlukan untuk mempertahankan kakitangan dan kepentingan AS," kata Menendez. -AFP

(Putera Muhammad bin Salman(kiri) dan Joe Biden (kanan)/AFP) 

Media Baharu